KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
    MALAYSIA
     

    PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 8 TAHUN 2000

    PELARASAN GAJI 10% KEPADA ANGGOTA
    PERKHIDMATAN AWAM PERSEKUTUAN
    DI BAWAH SISTEM SARAAN BARU






    TUJUAN

    1.    Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan Pelarasan Gaji berikutan keputusan Kerajaan memberi kenaikan gaji sebanyak 10% kepada anggota perkhidmatan awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) mulai 1 Januari 2000.
     

    TAFSIRAN

    2.    Dalam Pekeliling Perkhidmatan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, istilah berikut mempunyi erti seperti di bawah ini-

                "anggota kontrak" ertinya seseorang yang dilantik oleh pihak berkuasa melantik ke sesuatu jawatan dalam satu
                tempoh tertentu mulai satu perjanjian;

                "anggota sambilan" ertinya seseorang yang dilantik oleh Ketua Jabatan unutk menjalankan tugas jangka masa
                pendek dan dibayar upah mengikut kadar gaji harian;

                "anggota sangkut" ertinya seseorang yang dilantik oleh Ketua Jabatan untuk bertugas dari sebulan ke sebulan
                bagi tempoh jangka masa pendek;

                "anggota sementara" ertinya seseorang yang dilantik secara sementara oleh Suruhanjaya Perkhidmatan atau
                pihak yang wakilkan kuasa olehnya;

                "anggota tetap" ertinya seseorang yang dilantik secara tetap oleh Suruhanjaya Perkhidamtan atau pihak yang
                diwakilkan kuasa olehnya;

                "Gaji Baru" ertinya Matagaji Sistem Saraan Baru yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2000;

                "Gaji Sekarang" ertinya Matagaji Sistem Saraan Baru yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember 1999;

                "guru sandaran" ertinya seseorang yang dilantik sebagai guru secara sandaran Ketua Jabatan;

                "Jadual Gaji Sekarang" ertinya jadual yang meliputi tanggagaji sebaris atau jadual gaji matriks yang berkuatkuasa
                dalam Sistem Saraan Baru mulai 31 Disember 1999;

                "Matagaji" ertinya gaji pokok yang terletak di sesuatu tanggagaji sebaris atau jadual gaji matriks;

                "Matagaji Baru" ertinya Matagaji dalam Jadual Gaji Baru;

                "Matagaji Sekarang" ertinya Matagaji dalam Jadual Gaji Sekarang;

                "Pelarasan Gaji" ertinya perubahan gaji berikutan daripada kenaikan gaji yang telah ditetapkan; dan

                "Sifir Pemindahan Gaji" ertinya sifir yang menunjukkan cara pemindahan gaji daripada Jadual Gaji Sekarang
                kepada Jadual Gaji Baru.
     

    PELAKSANAAN

    Pelarasan Gaji

    3.    Pelarasan Gaji tidak diberi kepada-

           a.     anggota yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja yang berkuatkuasa pada atau
                   selepas 1 Januari 2000 sehingga tarikh Pekeliling Perkhidmatan ini; dan

           b.    anggota yang bersara sebelum atau pada 1 Januari 2000.

    4.    Pelarasan Gaji hendaklah diberi kepada anggota tetap, sementara, kontrak (termasuk anggota kontrak yang dibayar gaji secara pukal), sangkut, sambilan dan guru sandaran yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Kerajaan pada atau selepas 1 Januari 2000 mengikut skim perkhidmatan SSB. Bagi anggota kontrak, Pelarasan Gaji hendaklah dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan atau lain-lain pihak berkuasa melantik yang berkenaan dengan membuat pindaan kepada tanggagaji di dalam surat perjanjian pelantikan. Bagi anggota lain pelarasan gaji hendaklah dibuat oleh Ketua Jabatan.

    5.    Di samping itu, Pelarasan Gaji hendaklah diberi kepada anggota yang berkhidmat dalam perkhidmatan Kerajaan pada atau selepas 1 Januari 2000 yang berada dalam keadaan seperti berikut-

            a)    dipinjam atau ditukar sementara ke agensi Kerajaan, Pelarasan Gaji hendaklah mengikut gaji pinjaman
                   atau pertukaran sementara. Gaji hakiki anggota berkenaan hendaklah diselaraskan secara isyarat oleh Ketua
                   Jabatan;

            b)    dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, Pelarasan Gaji hendaklah dibuat secara isyarat
                   atas gaji hakiki oleh Ketua Jabatan;

            c)    cuti bergaji penuh, Pelarasan Gaji hendaklah dibuat atas gaji pokok yang diterima;

            d)    cuti separuh gaji, Pelarasan Gaji hendaklah dibuat atas gaji pokok dan dibayar separuh daripada Gaji Baru;

            e)    cuti tanpa gaji, Pelarasan Gaji hendaklah dibuat secara isyarat atas gaji pokok. Anggota berkenaan dibayar
                   Gaji Baru apabila kembali bertugas.

    6.    Dalam proses Pelarasan Gaji ini, sebarang hukuman yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib sebelum tarikh Pekeliling Perkhidmatan ini yang melibatkan gaji anggota, iaitu denda, lucuthak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji atau turun pangkat hendaklah dilaksanakan sepenuhnya. Sebagai contoh, jika pergerakan gaji anggota ditangguhkan sebagai hukuman, maka setelah Gaji Sekarang dipindah kepada Gaji Baru, pergerakan gajinya dalam Jadual Gaji Baru hendaklah ditangguh sehingga hukuman itu disempurnakan.

    7.    Anggota yang meninggal dunia pada atau selepas 1 Januari 2000 layak diberi Pelarasan Gaji, Ketua Jabatan terakhir di mana anggota ditempatkan hendakalh bertanggungjawab terhadap pembayaran tunggakan.

    8.    Perkiraan gaji harian bagi anggota sambilan hendaklah diubah mulai 1 Januari 2000 mengikut Jadual Gaji Baru skim perkhidmatan berkaitan. Kaedah bayaran hendaklah mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1994 sehingga 31 Januari 2000 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2000 pada dan selepas 1 Februari 2000.

    9.    Pelarasan Gaji di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini tidak mengubah gred gaji dan skim perkhidmatan yang sedang berkuatkuasa mulai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991 dan tanggagaji permulaan  dalam skim-skim perkhidmatan seperti ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1997. Mulai 1 Januari 2000, semua skim perkhidmatan dan sebarang  tawaran pelantikan hendaklah menggunakan Jadual Gaji Baru.

    10.  Jadual Gaji Baru dan Sifir Pemindahan Gaji adalah seperti di Lampiran A.

    Bagi anggota yang berada di Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang, Jadual Gaji Baru dan Sifir Pemindahan Gaji adalah seperti di Lampiran B.

    11.   Prinsip pemindahan gaji yang digunakan ialah dari Matagaji ke Matagaji (point to point conversion), iaitu di Tangga (T) yang sama dengan mengekalkan Peringkat (P) gaji yang sedia ada. Kaedah pemindahan gaji adalah pemindahan daripada Matagaji Sekarang kepada Matagaji Baru. Contoh Pelarasan Gaji adalah seperti di Lampiran C.

    12.   Pelarasan Gaji ini tidak mengubah tarikh pergerakan gaji. Jika tarikh pergerakan gaji  anggota ialah 1 Januari, anggota berkenaan hendaklah diberi pemindahan kepada Gaji Baru dan seterusnya diberi pergerakan gaji dalam Jadual Gaji Baru. Contoh Pelarasan Gaji adalah seperti di Lampiran D.

    13.   Sekiranya tarikh kenaikan pangkat ialah 1 Januari 2000 dan sama dengan tarikh pergerakan gaji tahunan atas jawatan sebelum kenaikan pangkat, maka anggota berkenaan hendaklah diberi pemindahan kepada Gaji Baru atas jawatan lama terlebih dahulu dan kemudiannya diberi pergerakan gaji tahunan atas Jadual Gaji Baru diikuti dengan penyelarasan ke Gaji Baru jawatan kenaikan pangkat. Contoh Pelarasan Gaji adalah seperti di Lampiran E.

    14.   Jika tarikh kenaikan pangkat ialah 1 Januari 2000, maka anggota berkenaan hendaklah diberi pemindahan kepada Gaji Baru atas jawatan lama terlebih dahulu dan kemudiannya diselaraskan kepada Gaji Baru jawatan kenaikan pangkat. Contoh Pelarasan Gaji adalah seperti di Lampiran F.
     

    Elaun dan Kemudahan

    15.   Pelarasan Gaji di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini tidak mengubah elaun dan kemudahan di bawah SSB. Walau bagaimanapun, perkiraan untuk bayaran elaun yang berasaskan peratusan daripada gaji yang diterima hendaklah dibundarkan kepada sen yang berhampiran. Penetapan kelayakan bagi beberapa elaun dan kemudahan yang berasaskan gaji adalah diubah seperti di Lampiran G.

    16.   Pelarasan Gaji ini tidak mengubah elaun dan kemudahan yang diterima oleh anggota yang berkhidmat di luar negeri.

    17.   Dalam proses Pelarasan Gaji ini, sebarang hukuman yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib sebelum tarikh Pekeliling Perkhidmatan ini, yang melibatkan elaun anggota hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.
     

    Pemangkuan Dan Penanggungan Kerja

    18.   Bayaran pemangkuan dan penanggungan kerja bagi anggota yang sedang memangku atau menanggung kerja pada dan selepas 1 Januari 2000 hendaklah diselaraskan semula berdasarkan kepada Matagaji Baru anggota atau Matagaji Baru permulaan jawatan yang ditanggungkerja, di mana berkenaan.
     

    Faedah Persaraan

    19.   Bayaran pencen, ganjaran dan wang tunai sebagai gantian rehat di bawah undang-undang pencen kepada anggota yang bersara pada dan selepas 2 Jaunari 2000 hendaklah berasaskan Gaji Baru.
     

    TARIKH KUATKUASA

    20.   Pekeliliing Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2000.
     

    PEMAKAIAN

    21.   Tertaluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.
     

    PEMBATALAN

    21.    Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini-

            a.    Perenggan 2.1 Lampiran C, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1980;

            b.    Lampiran A dan perenggan A1(b) dan (c); A2(a) dan (b), 3(a); B1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 10; C1, 2 dan 3
                   dalam  Lampiran B, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1996; dan

            c.    Lampiran A dan B, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1996;

    adalah dibatalakan.
     
     
     

    "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

    ( TAN SRI DATO' SAMSUDIN BIN OSMAN )
    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
    Malaysia.

    Salinan asal

    JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
    MALAYSIA
    KUALA LUMPUR

    Mei 2000

    Semua Ketua Setiausaha Kementerian
    Semua Ketua Jabatan Persekutuan
    Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
    Semua Pihak Berkuasa Berkanun
    Semua Pihak Berkuasa Tempatan