PANDUAN
MAJLIS BERSAMA JABATAN
==========================
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA





LATAR BELAKANG

1.        Jentera perundingan di dalam perkhidmatan awam di peringkat jabatan telahpun diperkenalkan semenjak wujudnya jentera perundingan Majlis Whitley Jabatan. Penubuhan dan perjalanan Majlis Whitley Jabatan  pada masa itu tidak dikawal oleh sebarang agensi pusat. Ketua-ketua Jabatan telah menubuhkan Majlis Whitley ini mengikut kehendak dan persetujuan di antara pihak pengurusan dengan pihak Kesatuan Sekerja di Jabatan- Jabatan Berkenaan.

2.        Apabila sistem Whitley digantung pada tahun 1969 Kerajaan telah mengkaji semula jentera perundingan di peringkat Kebangsaan dan Jabatan. Dalam kajian itu Majlis Whitley Jabatan juga telah dipinda dan satu Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1973 telah dikeluarkan. Pekeliling ini antara lain telah menyelaraskan bentuk penubuhan dan perjalanan Majlis Bersama Jabatan di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Awam.

3.        Pada tahun 1978 Kerajaan sekali lagi telah mengkaji jentera perundingan di sektor awam dan seterusnya meminda Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1973 dan mewujudkan Pekeliling baru iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1979. Pekeliling ini tidak membuat sebarang perubahan kecuali kepada kekerapan mesyuarat di mana Majlis perlulah mengadakan mesyuarat setiap 3 bulan sekali.

4.        Pada tahun 1989 melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 7 Tahun 1989 Kerajaan sekali lagi telah membuat sedikit pindaan terhadap Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1979 yang khusus menyentuh Majlis Bersama Jabatan iaitu menjelaskan mengenai bentuk Majlis secara setempat. Pengecualian adalah diberikan mengikut merit setiap kes kepada mana-mana Kementerian/Jabatan/Badan-badan Berkanun/Kuasa-kuasa Tempatan yang memohon untuk menubuhkan sebuah Majlis Bersama Jabatan yang berbentuk lain daripada yang dihuraikan dengan mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini adalah berkuatkuasa mulai 3.11.89.

5.        Pada tahun 1992, Sistem Saraan Baru (SSB) telah membawa beberapa perubahan besar dalam struktur perkhidmatan awam. Peruntukan yang paling ketara ialah pembahagian peringkat kumpulan perkhidmatan kepada 3 kumpulan sahaja, iaitu, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Sokongan. Selaras dengan perubahan itu, Kerajaan telah mengkaji semula jentera perundingan dalam sektor awam di mana struktur lima Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang wujud sebelum SSB telah diubahsuai supaya dapat memainkan peranan dengan lebih berkensan. Arahan baru ini dikeluarkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1992. Walau bagaimanapun Pekeliling ini tidak membuat banyak perubahan terhadap skop, bidang dan tugas serta struktur Majlis Bersama Jabatan.

PENUBUHAN DAN PERJALANAN MAJLIS BERSAMA JABATAN

6.        Semua agensi Kerajaan adalah dikehendaki menubuhkan Majlis Bersama Jabatan. Sebelum Majlis Bersama Jabatan ditubuhkan dan berjalan, satu Perlembagaan perlulah digubal terlebih dahulu sebagai garis panduan ataupun undang-undang kecil bagi maksud penubuhan dan perjalanan Majlis berkenaan. Perlembagaan Majlis adalah satu contoh di Lampiran D Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1992. Pelembagaan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak majikan dan pekerja hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mendapat kelulusan.

TUJUAN

7.        Tujuan utama Majlis Bersama Jabatan diwujudkan adalah sebagai satu saluran dua hala di mana Pihak Pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan Pihak Pengurusan dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja demi kepentingan dan kebaikan organisasi berkenaan.

BIDANG DAN FUNGSI

8.        Skop, bidang dan fungsi Majlis Bersama Jabatan lebih menitikberatkan kepada kepentingan pekerja-pekerja dalam sesebuah organisasi. Di samping faktor utama untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja ianya juga bertindak sebagai forum perbincangan di antara pihak pengurusan dan pekerja. Masalah yang boleh dibincangkan adalah meliputi semua perkara yang berkaitan dengan keadaan berkerja kecuali yang menyentuh dasar Kerajaan atau pekerja perseorangan.

9.        Melalui Majlis ini pekerja-pekerja akan mendapat pengetahuan yang luas dan gambaran yang sejelas- jelasnya tentang perjalanan organisasinya. Di samping itu juga kebajikan pekerja dapat dilindungi dan dimanafaatkan oleh pihak pengurusan.

10.        Bagi pihak pengurusan pula, akan dapat mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerjanya secara terbuka. Dengan ini segala kekurangan dan kelemahan yang timbul di dalam organisasi itu akan dapat diketahui dan dicari jalan untuk mengatasi dan menyelesaikannya. Majlis ini juga dengan tidak secara langsung dapat menyerapkan semangat bekerja di kalangan pekerja untuk berkerja dengan lebih dedikasi dan produktif.

KEAHLIAN

11.        Keahlian Majlis Bersama Jabatan adalah terdiri daripada ahli-ahli Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja seperti berikut:

            *    Ketua Setiausaha Kementerian/Timbalan Ketua  )
                  Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan/      )
                  Ketua Pejabat Cawangan atau Pengurus Besar/  )   Pengerusi
                  Timbalan Pengurus Besar atau Timbalan             )
                  Pengerusi atau Ketua Pegawai Pentadbir            )

            *    Setiausaha Bahagian Perjawatan/Perkhidmatan   )    Ahli
                  atau Pegawai Kakitangan (Personnel Officer)     )

            *    Pegawai yang bertanggungjawab mengenai         )   Ahli
                  Kewangan

            *    Pegawai yang bertanggungjawab mengenai         )   Setiausaha
                  Pentadbiran Jabatan/Pejabat

13.        Bilangan keahlian Pihak Pegawai tidak dihadkan kepada 4 orang sahaja. Bagi pejabat-pejabat yang besar, keahlian tersebut bolehlah ditambah mengikut kesesuaian. Walau bagaimanapun, Ketua kepada sesuatau organisasi di mana Majlis Bersama Jabatan itu ditubuhkan akan menjadi Pengerusi kepada Majlis Bersama Jabatan.

14.        Perlu dijelaskan bahawa 'organisasi' adalah bermaksud satu pejabat yang diketuai oleh seseorang Ketua Jabatan di mana segala urusan pentadbiran, pengawasan kakitangan dan hal-hal kewangan tertakluk di bawah jagaan Ketua Jabatan tersebut dan seboleh-bolehnya pejabat itu hendaklah di bangunan/tempat yang sama.

15.        Ahli-ahli Pihak Pegawai dilantik atas nama jawatan masing-masing oleh Ketua Jabatan tersebut dan tidak ada had tempoh masa bagi memegang jawatan di dalam Majlis. Ini adalah bagi tujuan keseragaman dan juga kesinambungan.

16.        Ahli-ahli Pihak Pegawai dilantik atas nama jawatan masing-masing oleh Ketua Jabatan tersebut dan tidak ada  had tempoh masa bagi memegang jawatan di dalam Majlis. Ini adalah bagi tujuan keseragaman dan juga kesinambungan.

Pihak Pekerja

16.        Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja-pekerja di dalam organisasi di mana Majlis Bersama Jabatan itu ditubuhkan. Perwakilan Pihak Pekerja seboleh-bolehnya hendaklah terdiri dari Kesatuan-kesatauan Sekerja, Persatuan-persatuan Kakitangan yang berdaftar yang mewakili pekerja-pekerja tersebut atau pekerja-pekerja yang berkhidmat di dalam organisasi yang berkenaan. Dalam hal ini, jika Kesatuan-kesatuan Sekerja dan Persatuan-persatuan kakitangan wujud di dalam Organisasi tersebut maka ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah dilantik daripada perwakilan badan-badan tersebut. Walau bagaimanapun jika Kesatuan/Persatuan tersebut tidak dapat mewakili keseluruhan pekerja di dalam organisasi itu, maka ahli-ahli Pihak Pekerja yang lain bolehlah dilantik daripada pekerja-pekerja yang berkhidmat di dalam organisasi itu untuk mewakili golongan pekerja yang tidak dapat diwakili oleh Kesatuan/Persatuan berkenaan. Misalnya jika tidak terdapat Kesatuan/Persatuan yang mewakili golongan Pembantu Tadbir di dalam organisasi berkenaan, maka seorang Pembantu Tadbir boleh dilantik untuk mewakili golongan berkenaan. Dengan lebih jelas lagi perwakilan Pihak Pekerja seboleh-bolehnya hendaklah menggambarkan perwakilan perkhidmatan di dalam organisasi itu.

17.        Seperti yang dinyatakan di atas bagi organisasi yang tidak mempunyi sebarang Kesatuan Sekerja atau Persatuan Kakitangan yang berdaftar, maka ahli-ahli Pihak Pekerja akan dilantik daripada pekerja-pekerja yang berkhidmat di dalam organisasi itu. Dalam hubungan ini, Ketua Jabatan hendaklah memanggil satu mesyuarat bagi semua pegawai dan kakitangan di Jabatannya dan hendaklah seorang Pengerusi Sementara dilantik dari kalangan pegawai/kakitangan. Pengerusi Sementara itu nanti akan menguruskan perlantikan ahli-ahli Pihak Pekerja. Di dalam Peraturan-peraturan perlantikan tiap-tiap pegawai/kakitangan hendaklah diwakili sekurang-kurangnya oleh seorang ahli dan bilangan ahli tiap-tiap kumpulan adalah berdasarkan kepada bilangan pegawai/kakitangan dalam kumpulan berkenaan. Cara pengundian dijalankan secara terbuka mengikut perkhidmatan masing-masing.

18.        Pemilihan Pihak Pekerja seperti yang dijelaskan di atas adalah bagi organisasi yang tidak mempunyai sebarang Kesatuan Sekerja atau Persatuan Kakitangan yang berdaftar. Tetapi jika badan-badan tersebut ada maka ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada wakil-wakil yang dicalonkan atau dipilih oleh Kesatuan Sekerja atau Persatuan Kakitangan berkenaan.

19.        Pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Pihak Pekerja adalah dibuat daripada kalangan ahli-ahli Pihak Pekerja yang dilantik dan pemilihan itu hendaklah dibuat oleh Pihak Pekerja sendiri tanpa campur tangan Pihak Pengurusan. Pengerusi Pihak Pekerja akan menjadi Naib Pengerusi kepada Majlis Besama Jabatan dan Setiausaha Pihak Pekerja akan menjadi Setiausaha Bersama.

20.        Kekosongan di dalam keanggotaan Pihak Pekerja hendaklah dipenuhi oleh Pihak Pekerja sendiri. Contohnya; jika berlaku kekosongan satu kerusi Pihak Pekerja Kesatuan Sekerja 'A' maka kekosongan tersebut hendaklah diisi oleh wakil Kesatuan Sekerja 'A' sendiri. Begitu juga jika berlaku kekosongan kerusi perkhidmatan  Pembantu Am Rendah, maka ia hendaklah diisi oleh wakil pekerja perkhidmatan itu.

21.        Tempoh memegang jawatan bagi ahli-ahli Pihak Pekerja adalah selama 1 hingga 2 tahun mulai daripada tarikh perlantikan mereka. Walau bagaimanapun bagi maksud menetapkan peraturan di dalam Perlembagaan, tempoh pemegang jawatan tersebut hendaklah disebutkan secara khusus iaitu sama ada 1 tahun atau 2 tahun. Pemegang jawatan itu adalah diteruskan sehingga ahli-ahli yang akan mengambilalih telah dilantik/dipilih kelak.

PEGAWAI-PEGAWAI MAJLIS

22.        Pegawai-pegawai Majlis adalah terdiri daripada 4 orang ahli iaitu Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja. Ketua Jabatan adalah merupakan Pengerusi kepada Masyuarat Majlis Bersama Jabatan. Sekiranya Pengerusi tetap tidak dapat mempengerusikan mesyuarat berkenaan maka mana-mana ahli Pihak Pegawai yang berkenaan bolehlah menjadi Pengerusi ganti. Perlu dinyatakan juga bahawa Naib Pengerusi tidak boleh mempengerusikan Majlis dalam apa keadaan sekalipun.

MESYUARAT-MESYUARAT

23.        Mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah diadakan pada bila-bila masa sekurang-kuarangnya 4 kali setahun. Walau bagaimanpun ada baiknya jika jadual mesyuarat-mesyuarat tersebut dirangka terlebih dahulu. Perlu dijelaskan bahawa Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan merupakan urusan rasmi Kerajaan kerana penubuhan Majlis ini dianjurkan sendiri oleh Kerajaan.

24.        Korum mesyuarat Majlis bagi kedua-dua pihak hendaklah disebutkan semasa mengemukakan draf perlembagaan bagi kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam. Dalam hal ini, ada baiknya jika korum yang ditetapkan itu tidak kurang daripada 50% ahli-ahli yang dilantik bagi tiap-tiap pihak.

25.        Agenda bagi mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar oleh Setiausaha-setiausaha tersebut kepada pihak masing-masiang tidak kurang daripada 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara yang tidak termasuk di dalam agenda yang hanya boleh dibincangkan dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi.

26.        Mesyuarat Khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau naib Pengerusi bila dikehendaki. Tarikh mesyuarat tersebut hendaklah dipersetujui oleh pegawai-pegawai Majlis. Perkara-perkara yang akan dibincangkan di mesyuarat tersebut hendaklah terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis memanggil mesyuarat tersebut.

27.        Sebarang keputusan yang telah diambil terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan keadaan-keadaan berkerja boleh dilaksanakan kecuali apa-apa keputusan yang bertentangan dengan Peraturan-peraturan Kerajaan yang sedang berkuatkuasa. Bagi perkara-perkara yang menyentuh Peraturan-peraturan Kerajaan, Ketua Jabatan hendaklah merujukkan perkara tersebut kepada agensi-agensi pusat berkenaan.

28.        Perlu ditegaskan bahawa minit-minit mesyuarat Majlis hendaklah dipanjangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dalam tempoh masa yang munasabah selepas mesyuarat diadakan. Ini bertujuan supaya jika ada apa-apa perkara yang memerlukan tindakan Jabatan Perkhimatan Awam maka tindakan sewajarnya akan dapat diambil dengan segera.

PINDAAN KEPADA PERLEMBAGAAN

29.        Perlembagaan Majlis dipinda di mana-mana satu mesyuarat Majlis. Notis mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli Majlis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk diluluskan.

FAEDAH MAJLIS BERSAMA JABATAN

Hubungan dan sikap yang positif

30.        Interpretasi yang berbeza serta perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara boleh menimbulkan perselisihan faham dan suasana sesuatu perkara boleh menimbulkan perselisihan faham dan suasana tegang. Melalui Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan masalah-masalah dapat diselesaikan di samping membina suasana yang harmoni dan membentuk sikap yang positif.

Kepuasan Kerja

31.        Majlis Bersama Jabatan dapat memberi peluang kepada pekerja-pekerja untuk menunjukkan  bakat dan kebolehan dalam menyumbangkan idea-idea serta pandangan untuk kelancaran serta kelicinan kerja masing-masing. Dengan ini mereka akan merasa puas dan bekerja dengan penuh semangat.

Kebajikan pekerja

32.        Semangat pekerja-pekerja akan terus meningkat jika Pihak Pengurusan mengambil berat tentang kebajikan mereka.

Penyelesaian masalah-masalah

33.        Suasana yang mesra dan harmoni di antara Pihak Pekerja dan Pengurusan akan meningkatkan daya pengeluaran pekerja-pekerja.

Peningkatan mutu kerja

34.        Masalah-masalah pekerja dapat diselesaikan melalui Majlis Bersama Jabatan. Keadaan ini akan mendorong pekerja-pekerja supaya berkerja dengan lebih kuat dan sentiasa memperbaiki dan meningkatkan hasil dan mutu kerja mereka.

Penjimatan kos

35.        Majlis Bersama Jabatan boleh dijadikan satu forum yang baik untuk berkerjasama dan berbincang serta bertukar-tukar fikiran bagi mengurangkan kos penyelenggaran pejabat.

Kemajuan pekerja

36.        Majlis Bersama Jabatan dapat memberi peluang kepada pekerja-pekerja untuk memperbaiki diri mereka dari segi percakapan dan keyakinan diri di samping dapat membina dan mengeratkan lagi hubungan kemesraan dengan Pihak Pengurusan.

Sikap hormat-menghormati

37.        Majlis Bersama Jabatan dapat memupuk semangat silaturahim dan sikap hormat-menghormati di antara Pihak Pengurusan dan Pekerja-pekerja.

Penyelesaian masalah-masalah

38.        Majlis Bersama Jabatan akan memberi peluang kepada Pihak Pengurusan dan Pihak Pekerja untuk berbincang dan mencari idea-idea untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul yang ada hubungan bagi kedua-dua pihak di dalam pejabat berkenaan.

Kesetiaan

39.        Apabila pekerja-pekerja dapat memberi sumbangan mereka dan diambil perhatian sewajarnya oleh Pihak Pengurusan maka mereka akan merasa 'involved' kerana sumbangan mereka dihargai. Ini akan melahirkan perasaan kasih dan taat setia kepada organisasi mereka.

Perpaduan

40.        Apabila Pihak Pekerja dapat melibatkan diri dalam Majlis Bersama Jabatan, ini akan menimbulkan keadaan 'cohesiveness' dan perpaduan di dalam pejabat berkenaan. Oleh yang demikian, ianya akan mengelakkan perasaan 'kita' dan 'mereka' yang selalunya timbul di antara Pihak Pengerusan dan Pihak Pekerja.

Mengurangkan pengaduan

41.        Hubungan yang baik dan kerjasama yang erat serta padu diantara Pihak Pengurusan dengan Pihak, akan menimbulkan suasana bekerja yang harmoni dan ini akan mengurangkan perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja. Dengan adanya suasana begini maka semua masalah akan dapat diselesaikan.

SKOP PERBINCANGAN

42.        Skop perbincangan di dalam mesyuarat Majlis Bersama Jabatan adalah tertumpu kepada aspek-aspek yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja seperti berikut:-

            (i)        Aspek-aspek Pentadbiran

                       -    Pakaian/seragam

                        -    Kekurangan kakitangan

                        -    Penyalahgunaan tenaga kerja

                        -    Kebersihan pejabat dan persekitaran

                        -    Alat kelengkapan pejabat

                        -    Kemudahan-kemudahan lain

            (ii)        Aspek-aspek Kewangan

                       -    Tuntutan-tuntutan elaun

                        -    Bayaran elaun

                        -    Pendahuluan diri

                        -    Bayaran gaji

                        -    Agihan peruntukan

            (iii)       Aspek-aspek Perkhidmatan

                       -    Latihan/kursus

                        -    Cuti

                        -    Lantikan dan Kenaikan Pangkat

                        -    Peperiksaan Jabatan

                        -    Pengesahan Jawatan

                        -    Kenyataan Perkhidmatan

                        -    Arahan yang tidak seragam

43.        Perkara-perkara yang menyentuh soal dasar dan  peraturan-peraturan Kerajaan masih boleh dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan, tetapi Majlis tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan utnuk mengubah sesuatu dasar atau peraturan yang telah ditetapkan itu. Perkara-perkara yang dibangkitkan itu boleh dikemukakan kepada agensi-agensi pusat yang berkenaan oleh Ketua Jabatan atau dibawa ke Mesyuarat Majlis Bersama Kebangsaan oleh Pihak Pekerja melalui Kesatuan Sekerja masing-masing.

44.        Hal-hal perseorangan tidak boleh dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis. Perbincangan hendaklah ditumpukan kepada perkara-perkara yang melibatkan 'Masalah Bersama' (Common Interest). Walau bagaimanapun sekiranya masalah perseorangan itu melibatkan atau mempengaruhi 'Masalah Bersama' maka ianya bolehlah ditimbulkan di dalam mesyuarat Majlis. Dalam hal ini merit sesuatu kes hendaklah dikenalpasti sama ada ianya benar-benar melibatkan keadaan tersebut.

PERUBAHAN SEBUAH MAJLIS BERSAMA JABATAN YANG BERJAYA

45.        Bagi menjamin kejayaan sesebuah Majlis Bersama Jabatan, kedua-dua belah pihak iaitu Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja hendaklah memakai objektif, matlamat, fungsi dan tatacara peruntukan MBJ. Terdapat beberapa faktor yang boleh menghasilakan kejayaan MBJ, iaitu seperti berikut:

Komitmen Daripada Pihak Pengurusan Dan Pihak Pekerja

46.        Adalah perlu bagi sesebuah agensi untuk mengadakan satu suasana yang sesuai untuk menubuhkan MBJ. Dalam hal ini, pihak Pengerusan dan Pihak Pekerja hendaklah menerima Konsep dan falsafah MBJ. Kedua-dua belah pihak juga hendaklah komited, bertanggungjawab dan menunjukkan sikap yang positif terhadap perjalanan MBJ.

Pemilihan Ahli-ahli Pihak Pegawai Dan Pihak Pekerja

47.        Ahli-ahli Pihak Pekerja adalah dipilih Kesatuan Sekerja, Persatuan Kakitangan atau Pekerja-pekerja sendiri, manakala Ketua Jabatan pula mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan mewakili pihak pegawai. Oleh itu, adalah penting bahawa ahli-ahli yang dipilih itu mempunyai sifat-sifat yang positif, produktif dan berfikiran terbuka semasa memainkan peranan mereka sebagai ahli majlis.

Penerimaan Dan Kerjasama Daripada Kesatuan-Kesatuan Sekerja

48.        Di dalam organisasi yang ada Kesatuan Sekerja, keahlian atau perwakilan daripada mereka ini hendaklah diutamakan. Majis Bersama Jabatan tidak akan berfungsi dengan lancar jika hubungan di antara Pihak Pengurusan dan Pekerja renggang. Penglibatan dan sokongan Kesatuan Sekerja dalam menjalankan Majlis Bersama Jabatan adalah penting.

Komunikasi Dua Hala Di Antara Pihak Pengurusan Dan Pekerja

49.        Pekerja-pekerja dalam organisasi hendaklah sentiasa diberitahu mengenai perbincangan yang dijalankan dalam majlis. Ini adalah perlu supaya pekerja yang bukan ahli Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja sentiasa mengetahui apa yang berlaku dalam Majlis Bersama Jabatan. Cara yang boleh dilakukan ialah melalui pengedaran minit-minit mesyuarat ataupun melalui wakil-wakil pekerja. Komunikasi ini adalah penting dan jika tidak dilakukan kesan-kesan yang buruk akan timbul. Khabar-khabar angin yang tersiar kerapkali memberi gambaran yang salah dan menimbulkan gejala yang buruk.

Pihak Pengurusan Hendaklah Mempunyai Fikiran Terbuka Terhadap Masalah Pihak Pekerja

50.        Pihak Pekerja boleh mengemukakan sebarang masalah tanpa ragu-ragu kecuali masalah-masalah yang menyentuh dasar Kerajaan atau peribadi untuk dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Bersama Jabatan. Sehubungan dengan ini, Pihak Pengurusan tidak seharusnya memandang serong terhadap Pihak Pekerja berkenaan sebaliknya memberi kerjasama dalam mengatasi masalah-masalah yang dihadapi dengan sebaik mungkin demi mencapai objektif Majlis Bersama Jabatan.

Masalah Penubuhan Dan Pelaksanaan MBJ

Seperti di Lampiran A.