JPA(S)63/145/1(7)                                                                                                                            Siri No. 3166
    KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
    MALAYSIA
    PEKELILING PERKHIDMATAN BIL. 5 TAHUN 1993
    IMBUHAN TAHUNAN BAGI PEGAWAI SEKTOR AWAM

    TUJUAN

    1.         Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk :

                1.1.     memaklumkan keputusan Kerajaan memberi imbuhan tahunan kepada pegawai sektor awam
                           pada tahun 1993; dan

                1.2.     menetapkan kaedah pelaksanaannya.

    LATAR BELAKANG

    2.         Berikutan dengan pelaksanaan Sistem Saraan Baru, pembayaran imbuhan tahunan telah diperkenalkan sebagai satu unsur di dalam Komponen Berubah. Ia merupakan satu bayaran galakan tidak tetap yang dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan Kerajaan, prestasi ekonomi negara dan sebagai suatu penghargaan kepada khidmat pegawai sektor awam. Berdasarkan ketetapan di atas, Kerajaan telah membuat keputusan bahawa imbuhan tahunan dibayar kepada pegawai sektor awam pada tahun ini. Tujuan brayaran ini adalah sebagai imbuhan kepada prestasi perkhidmatan awam yang memuaskan pada keseluruhannya dan sebagai satu motivasi bagi menggalakkan peningkatan sumbangan dan produktiviti pegawai sektor awam secara berterusan.

    3.         Kerajaan telah bersetuju supaya kadar imbuhan tahunan pada tahun 1993 ditetapkan sebanyak setengah bulan gaji tetapi tidak kurang daripada RM400.00

    PELAKSANAAN

    Pegawai Yang Layak

    4.         Pegawai sektor awam yang layak menerima imbuhan ini adalah seperti berikut :

                (i)     pegawai bertaraf tetap, sementara atau kontrak yang sedang berkhidmat.pada 1 November 1993
                        tidak mengira sama ada mereka memilih Sistem Saraan Baru ataupun yang memilih kekal atas
                        syarat-syarat perkhidmatan JKK 1976. Pegawai tetap bererti pegawai yang dilantik ke jawatan tetap
                        termasuk yang dalam tempoh percubaan, tukar sementara atau pinjaman;

                (ii)     pegawai yang bersara wajib atau pilihan pada mana-mana tarikh dalam tahun 1993;

                (iii)     pegawai yang meninggal dunia pada mana-mana tarikh dalam tahun 1993. Imbuhan tahunan dibayar
                          kepada waris yang sah;

                (iv)     pegawai yang dikenakan hukuman tatertib berbentuk amaran sahaja; dan

                (v)     pegawai yang berkhidmat dengan Badan Berkanun yang tidak membayar bonus pada tahun 1993.

    Pegawai Yang Tidak Layak

    5.         Pegawai yang tidak layak menerima imbuhan tahunan ini adalah seperti berikut :

                (i)     pegawai di dalam agensi-agensi yang telah diasingkan pengurusan saraannya daripada saraan sektor
                        awam;

                (ii)     pegawai sambilan, pegawai sangkut dan guru sandaran. Bayaran imbuhan tahunan bagi guru sandaran
                         hanya boleh dilaksanakan apabila pegawai dilantik secara tetap pada tahun 1993. Perkiraan imbuhan
                         adalah berasas kepada perenggan 4(i) Pekeliling ini;

                (iii)     pegawai di dalam Jawatan Utama dan Gred Khas yang memegang jawatan tersebut pada mana-mana
                          tarikh dalam tahun 1993, sebelum atau selepas keluarnya Pekeliling ini;

                (iv)     pegawai di dalam Badan Berkanun yang telah diberi bonus pada tahun 1993;

                (v)      pegawai yang bercuti  separuh gaji atau tanpa gaji atau campuran cuti separuh gaji dan tanpa gaji atas
                          sebab-sebab selain daripada berkursus, iaitu :

                          (a)     sekiranya bercuti separuh gaji atau bercuti tanpa gaji sepanjang.tahun1993, tidak
                                   diberi imbuhan tahunan ini;

                          (b)     sekiranya bercuti :separuh gaji dan bercuti tanpa gaji sepanjang tahun 1993, tidak
                                   diberi imbuhan ini;

                          (c)     walau apapun syarat-syarat di v(a) dan (b) di atas, sekiranya pegawai mengambil cuti separuh
                                   gaji atau cuti tanpa gaji pada beberapa bulan sahaja atau sebarang tempoh yang dilulus pada
                                   mana-mana bulan dalam tahun 1993, imbuhan tahunan ini boleh dibayar secara proportionate
                                   berasaskan genap satu bulan perkhidmatan. Kaedah pengiraan adalah seperti contoh berikut :

                                    Contoh :

                                    Jika pegawai bercuti separuh gaji pada bulan Januari dan bercuti tanpa gaii pada bulan Februari
                                    sehingga 15 Mac 1993, perkiraan imbuhan tahunan adalah berasaskan kepada sembilan bulan
                                    perkhidmatan iaitu 9/24 x gaji pokok.

                (vi)     pegawai yang cuti berkursus sama ada bergaii penuh, separuh gaji atau tanpa gaji, iaitu :

                          (a)    sekiranya pegawai cuti berkursus sepanjang tahun 1993, tiada imbuhan tahunan diberi;

                          (b)     sekiranya pegawai cuti berkursus pada bulan Januari hingga Mac dan mula bertugas pada
                                    bulan April 1993 imbuhan tahunan ini boleh dibayar secara proportionate berasaskan genap
                                    satu bulan perkhidmatan. Kaedah pengiraan imbuhan yang boleh dibayar ialah 9/24 x gaji
                                    pokok.

                (vii)     pegawai yang meletakkan jawatan atau pegawai kontrak yang tidak lagi berkhidmat pada 1 November
                           1993;

                (viii)     pegawai yahg dikenakan hukuman tatatertib selain daripada amaran pada tahun 1993; dan

                (ix)      pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak
                           Berkuasa Tatatertib dengan tujuan buang  kerja, pemberian imbuhan ini ditangguhkan sehingga
                           diputuskan hukuman tatatertib ke atas pegawai.

    Perkiraan

    6.         Perkiraan imbuhan tahunan ialah sebanyak setengah bulan gaji tetapi tidak kurang daripada RM400.00 dan dibuat berdasarkan gaji pokok bulan Oktober 1993.

    7.         Jumlah ini dibayar seperti berikut :

                (a)    imbuhan tahunan diberi mengikut perkiraan di perenggan 6 jika pegawai telah berkhidmat sebelum
                        1 Januari 1993 dan masih berkhidmat pada 1 November 1993;

                (b)     secara proportionate berasaskan kepada genap satu bulan perkhidmatan pada tahun 1993 termasuk
                          juga bagi pegawai yang baru dilantik.

                          Contoh :

                          (i)     sekiranya pegawai dilantik pada 1 Julai 1993, imbuhan tahunan adalah dikira mengikut tempoh
                                   6 bulan perkhidmatannya pada tahun 1993 (6/24 x gaji pokok);

                          (ii)     sekiranya anggota dilantik pada 1 November 1993, imbuhan tahunan adalah dikira mengikut
                                   tempoh 2 bulan perkhidmatannya pada tahun 1993 (2/24 x gaji pokok).

    8.         Bagi pegawai yang barsara atau yang meninggal dunia sebelum bulan Oktober 1993, perkiraan adalah berasaskan kepada gaji pokok terakhir yang diterima olehnya.

    9.         Bagi pegawai yang bersara atau yang meninggal dunia selepas bulan Oktober 1993, perkiraan adalah berasaskan kepada gaji pokok bulan Oktober 1993.

    10.       Bagi pegawai yang dipinjamkan, kecuali pegawai di dalam Jawatan Utama dan Gred Khas, perkiraan adalah berasaskan kepada gaji pokok semasa berada dalam jawatan pinjaman tersebut.

    Pemakaian

    11.       Tertakluk kepada penerimaannya oleh Pihak Berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini
    dipanjangkan kepada Perkhidmatan-perkhidmatan Negeri, Badan-badan Berkanun dan Kuasa-kuasa Tempatan.

    " BERKHIDMAT UNTUK NEGARA "
     
     
     

    ( TAN SRI DATO' MAHMUD BIN TAIB )
    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
    Malaysia.

    Salinan asal

    26hb. November 1993.

    Semua Ketua Setiausaha Kementerian

    Semua Ketua Jabatan Persekutuan

    s.k.

    Semua YB Setiausaha Kerajaan Negeri.

    Semua Ketua Pengurusan Badan Berkanun

    Semua Ketua Pengurusan Kuasa Tempatan.