BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM. ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
PENDAHULUAN
Alhamdullillah, dengan limpah kurnia dan izin Allah Subhanahu Wataala,
sekali lagi kita dapat berkumpul menghadiri Perhimpunan Agung UMNO ini.
Sebagai Presiden Parti, bagi pihak Parti dan Majlis Tertinggi, saya mengucapkan
selamat datang kepada. tetamu-tetamu kehormat kita dan mengalu-alukan kehadiran
saudara saudari sekalian di majlis yang bahagia ini. Bersama-samalah kita
berdoa, semoga dengan hidayat dan petunjuk Allah
Subhanahu
Wataala, dapat kita menunaikan tanggungjawab kita bagi menjayakan mesyuarat
ini mengikut Perlembagaan dan prisip-prisip Parti serta memperkukuhkan
lagi perjuangan kita.
Dalam ucapan saya bersempena Perhimpunan Agung tahun lalu, saya telah menyentuh
beberapa perkara berhubung dengan Parti dan pilihanraya, politik dan ekonomi,
kependudukan dan demokrasi, hubungan luar, Dasar Pandang ke Timur, dan
Islam. Reaksi terhadap ucapan saya agak begitu hangat, dan saya telah cuba
sedaya upaya yang boleh untuk menjelaskan isu-isu yang telah dibangkitkan.
Setelah setahun, saya percaya kali ini banyak isu pula yang akan diketengahkan
oleh para perwakilan sekalian untuk dijawab. Inilah cara demokrasi yang
kita amalkan di mana
pemimpin-pemimpin
parti dituntut menjelaskan tentang amanah dan mandat yang telah diberikan
kepada mereka. Insya-Allah, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi akan cuba. menjelaskan
apa-apa jua kemuskilan yang akan dibangkitkan di akhir Perhimpunan ini
nanti.
MALAYSIA YANG BAHAGIA
3. Sesebuah negara adalah satu organisme. Dan sebagai satu organisme, sesebuah negara mahukan kesihatan, kebahagiaan, dan usia yang panjang. Tetapi, sebagai satu organistne, sesebuah negara terdedah kepada penyakit dan menghadapi masalah yang jika tidak dirawati dan dipelihara akan menjejaskan kebahagian, kesihatan dan usianya.
4.
Saya membuat misalan negara kita sebagai satu organisme yang mementingkan
ciri-ciri kesihatan, kebahagiaan dan panjang usia kerana misalannya adalah
tepat. Di sana sini, dan begitu juga daripada sejarah, kita dapat melihat
peristiwa-peristiwa yang menjejaskan sesebuah negara -- peristiwa-peristiwa
yang menghalang pembangunan, serta melemah, bahkan melenyapkannya.Peradaban
Roma, Kerajaan Byzantium, Parsi, Turki, British, dan banyak contoh lagi
yang boleh disebut adalah bukti-bukti ynng menunjukkan kelenyapan peradaban
dan kehancuran kerajaan-kerajaan
besar di dunia.
Empayar Melayu juga telah melalui sejarah yang sama; Kerajaan Sriwijaya
dan Kerajaan Melaka dahulukala menjelma dari wilayah-wilayah yang kecil,
berkembang dan membesar menjadi empayar dan kuasa besar, dan kemudian berpecah
dan hancur dan hilang dari muka bumi. Yang lain pula telah melalui pertumbuhan
yang tidak sihat dan hancur sebelum berkembang.
5.
Ini semua adalah pengajaran bagi kita, dan salah satu pengajaran yang penting
ialah bagaimana faktor-faktor kelemahan menular ke dalam masyarakat dan
memusnahkan sesuatu kerajaan besar. Seorang tokoh terkemuka Islam, Ibn
Khaldun, pernah mengutarakan teori tiga generasi bagi fenomena sosial -
generasi pertama, dengan semangat, ketegasan dan usaha membina satu asas
sistem ynng kukuh; generasi kedua, dengan asas-asas yang dibina, membawa
kepada keagungan; dan generasi ketiga, kerana kekurangan semangat, dan
ghairah dengan kesenangan dan keagungan, menyemaikan bibit-bibit ke arah
kehancuran. Ini tidak semestinya benar bagi semua keadaan, tetapi jika
kita kurang
berhati-hati,
ia tidak mustahil pula berlaku, malahan boleh berlaku kepada kita, mungkin
sebelum pun kita sampai kepada generasi kedua.
6. Itulah sebabnya kita harus tekun membimbing negara kita ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan, dan sentiasa mengisi kemerdekaan kita dengan semangat, maka dan maruah, dengan usaha dan disiplin, supaya setiap generasi bangsa kita tidak akan mengalami kelemahan, atau membenarkan unsur-unsur yang tidak sihat, serta khayalan dan kegahairahan menyerapi pemikiran dan cara hidup kita. Itulah sebabnya kita harus menyemai dan memupuk nilai-nilai yang tinggi di kalangan masyarakat kita dan giat berusaha untuk kemajuan dan kebahagiaan. Usaha-usaha kita ini bukanlah kerana didorongkan oleh keangkuhan untuk menunjuk-nunjuk, atau kerana hendak menjadi satu kuasa besar untuk menakluki orang lain, tetapi untuk menjaga maruah dan kedudukan kita, dan untuk membuat sumbangan supaya hidup kita menjadi lebih bahagia, dan dapat pula sama-sama kita menyumbang ke arah kebahagiaan manusia sejagat.
7.
Usaha-usaha ke arah yang baik tidak mudah. Walaupun pada prinsipnya manusia
sukakan yang baik, tetapi pada amalannya, oleh sebab didorong oleh kepentingan-kepentingan
tertentu, nilai yang baik dibelakangkan.
UMNO DAN DEMOKRASI
UMNO telah ditubuh berasaskan kepada satu prinsip penting, iaitu prinsip demokrasi. Semasa Kongres pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bahru, wakil persatuan-persatuan orang Melayu yang berkumpul dengan secara automatik telah menggunakan sistem suara ramai bagi rundingan mereka walaupun jelas sistem suara ramai adalah asing bagi orang Melayu.
9. Sejak itu hinggalah sekarang tidak ada soal lagi tentang sistem demokrasi sebagai asas susunan dan perjalanan Parti. Semua yang dilakukan oleh UMNO ditentukan secara langsung, atau tidak langsung, mengikut sistem suara ramai. Demikianlah kepercayaan kepada sistem ini, hinggakan apabila merdeka, sistem pentadbiran negara juga telah diasaskan kepada demokrasi.
10. Walaupun demokrasi mempunyai berbagai tafsiran, di Malaysia kita berpegang kepada suara ramai sebagai asas demokrasi. Sebab itulah di dalam Parti kita, kita mengadakan pungutan suara untuk menggubal dan meminda Perlembagaan, untuk memilih pemimpin, dan untuk membuat keputusan berkenaan perkara-perkara yang penting dan istimewa. Pemimpin juga dipilih melalui suara ramai. Mereka tidak kekal, dan jelas dalam tempoh tertentu --- setahun, dua tahun atau tiga tahun sekali -- calon-calon dikemukakan dan dipilih melalui suara ramai.
11.
Tetapi demokrasi -- sebagaimana apa juga sistem -- tidak semestinya berkesan
semata-mata kerana sistem itu baik. Jika pengamal sistem demokrasi mahu
mereka boleh menggunakan demokrasi untuk menghancurkan amalan demokrasi.
Sebab itulah kita lihat banyak negara demokratik di dunia yang gagal. Jika
umpamanya demokrasi menyebabkan terlalu banyak parti politik ditubuh, hingga
tidak satu pun daripadanya menjadi parti yang bertaraf nasional,
maka pilihanraya tidak akan berjaya menentukan sebuah parti yanq cukup
besar bilangan wakilnya untuk membentuk Kerajaan. Kerajaan campuran pun
sukar dibentuk kerana parti-parti yang sama kecil tidak sanggup menerima
kepimpinan sesiapa juga di antara mereka. Jika Kerajaan campuran berjaya
dibentuk, ia tidak mungkin stabil
kerana tidak
ada disiplin, dan ugutan-ugutan sering dibuat untuk menarik diri dan sebagainya.
Kesannya ialah Kerajaan yang lemah yang sekejap-sekejap bertukar.
12. Kadang-kadang sistem dua parti wujud. Tetapi, ini pun tidak menjamin kestabilan. Jika bilangan wakil rakyat hampir sama banyak antara kedua-duanya, parti yang membentuk Kerajaan enggan bertindak tegas dalam apa-apa perkara penting atau "controversial" kerana takut penyokong memberontak dan Kerajaan jatuh atau parti akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang. Dalam keadaan ini, masalah-masalah negara tidak mungkin diatasi, dan negara tetap akan hanyut.
13.
Demokrasi cuma akan kekal dan kuat jika pengamalnya memahami peranan mereka,
dan mengawal kepentingan diri untuk menjayakan kepentingan ramai dan memelihara
demokrasi. Bagi yang faham, kepentingan ramai adalah kepentingan bersama
yang akhirnya memenuhi kepentingan diri juga. Jadi, seseorang tidak akan
rugi jika kepentingan ramai diutamakan-- sekadar mengutamakan kepentingan
diri, biasanya mendatangkan keuntungan
serta-merta
tetapi tidak kekal, dan mengutamakan kepentingan ramai, walaupun memerlukan
pengorbanan, tetap akan membawa hasil jangka panjang.
14.
Dalam UMNO, dan di kalangan orang Melayu amnya, terdapat terlalu banyak
yang mengutamakan hasil jangka pendek. Sebab itu, amalan-amalan yang melemahkan
Parti dan perjuangan orang Melayu kerap berlaku. Di
antara amalan-amalan
ini ialah tabiat melempar fitnah.
BAHAYA FITNAH
15. Fitnah memfitnah adalah satu sifat yang keji di kalangan semua masyarakat manusia. Dalam Islam ia merupakan salah satu daripada dosa besar. Malangnya, sifat keji ini berleluasa di kalangan masyarakat kita juga menjadi tabiat setengah-setengah ahli dan penyokong UMNO.
16.
Sebelum seseorang masuk bertanding untuk apa-apa jawatan, tidak
ada keburukan
padanya. Tetapi, apabila sahaja ia dicalonkan, maka bermacam-macam cerita
dialunkan, cerita yang dibisik-bisik tanpa menghiraukan sama ada cerita
itu benar atau tidak. Dari satu mulut ke satu mulut, cerita-cerita
itu bukan sahaja disebar, tetapi ditokok tambah. Kalau sudah
berkahwin, kononnya telah kahwin satu dua lagi, serta dengan cerita
yang cukup detail.
Kalau rasuah, angka yang terlibat pula ditokok tambah, sehingga
tidak ada hadnya. Bermacam-macam cerita dicipta dengan penuh
imaginasi.
17.
Pada satu masa, seorang Menteri yang amat kurus telah bertanding. Maka
terdengarlah cerita bahawa Menteri ini telah berkahwin seorang lagi.
Hari ini Menteri
itu telah bersara dan tidak ada cerita lagi. Bahkan kita tahu cerita itu
tidak benar. Begitu juga dengan seorang Menteri lain dari
negeri Hang Tuah. Bermacam risalah diedar. Tetapi hari ini kita
tahu cerita-cerita
yang menarik itu tidak benar sama sekali. Banyak lagi contoh yang boleh
saya sebutkan dan saudara saudari akan ketawa. Walaupun kita tahu bahawa
cerita-cerita dahulu adalah fitnah belaka, tetapi
kalau ada
cerita baru, kita tidak menolak. Kita terima bulat-bulat dan
kita turut mengedarkannya
juga.
18.
Demikianlah, tiap kali ada sesiapa, yang ingin maju ke hadapan,
atau sudah mencapai
tempat yang istimewa, maka fitnah dilempar dari mulut ke
mulut. Hari ini, cerita Jepun dan Korea menyogok duit kepada orang-orang
tertentu
amat popular. Bahawa tidak ada apa-apa bukti yang ini berlaku
tidak menjadi masalah. Fitnah amat sedap, apabila orang lain
jadi sasaran.
Benar atau tidak, tidak mengapa. Lemparkan sahaja, dan sembunyikan
tangan.
19. Fitnah dicipta dan disebar dengan lebih cepat apabila seseorang gagal mendapat sesuatu untuk dirinya. Jika gagal mendapat kontrak misalnya, maka sebab yang ditonjolkan ialah kerana orang yang berjaya telah menyogok wang kepada orang yang membuat keputusan. Yang berjaya pula, jika gagal mendapat kontrak yang lain, dia juga tidak segan-segan menuduh rasuah telah dilakukan oleh orang yang berjaya. Walau siapa juga berjaya, tuduhan rasuah tetap dibuat, terutama terhadap orang yang memenuhi jawatan yang tertinggi.
20.
Fitnah bukanlah terhad kepada tuhmahan rasuah. Untuk memburukkan
orang lain bermacam fitnah dilempar, termasuk telah berkahwin sekali
lagi, atau mempunyai
simpanan, selalu minum arak, suka mengejar isteri orang
dan lain-lain.
Beberapa penuntut kita di Eropah dan Amerika suka melempar
fitnah terhadap
Kerajaan yang kononnya dianggotai oleh orang yang selalu
mabuk, tahi arak
dan sebagainya. Apabila tuduhan ini dilempar, gambaran
yang diukirkan
ialah anggota Kerajaan ini sepanjang masa, kata orang Kedah,
"mabuk tunggang-langgang".
Malahan, mereka sanggup memanggil Kerajaan ini
Kerajaan syaitan, iaitu sama dengan kerajaan Shah Iran.
21. Allah Subhanahu Wataala Maha Mengetahui. Allah Subhanahu Wataala telah berfirman dalam Al-Quran bahawa fitnah adalah lebih bahaya daripada membunuh. Tetapi, apakah kita hiraukan firman Tuhan. Berapa ramai daripada kita yang dengan sewenang-wenang mengulangi cerita yang didengari dari mulut ke mulut, dengan ditokok tambah, tanpa sedikit pun berasa bersalah atau berdosa. -Kita teruskan sahaja dengan fitnah kerana begitu asyik dengan kelazatan amalan ini.
22.
Kerana merbahayanya fitnah, dan kerana amalannya boleh merosakkan masyarakat,
maka ia ditakrif sebagai dosa besar. Kita tahu tentang cerita
fitnah yang telah dilempar terhadap seorang isteri Nabi Muhammad
Aalallahu Alaihi
Wassalam dan kesannya terhadap baginda, keluarga dan masyarakat
Islam ketika itu. Jika tidak kerana kepimpinan Nabi kita
tentulah masyarakat
Islam dan agama Islam ketika itu akan lemah. Mungkin juga
agama Islam tidak akan berkembang dan kita tidak akan memeluk agama
Islam. Sebenarnya
ini semua adalah pengajaran. Tetapi, sebagai orang
Islam, adakah
kita mengambil pengajaran ini?
23.
Saya menumpukan perhatian kepada, soal fitnah memfitnah ini kerana
kesannya amat
buruk dalam sesebuah negara demokratik. Dalam negara demokratik,
kuasa datangnya daripada sokongan orang ramai. Melalui fitnah,
kepercayaan
rakyat terhadap dasar dan kepimpinan dapat dimusnahkan, dan
masyarakat, malah
negara, boleh
hancur. Asyik
dengan mendengar dan membisik fitnah dan menyebar, risalah tidak ada satu
pun rancangan boleh berjaya, dan akhirnya rakyat sendiri yang akan menderita,
dan mungkin negara
akan tergadai. Tetapi, dalam masyarakat Islam di Malaysia fitnah
dijadikan alat
politik, bukan sahaja dalam parti kita tetapi oleh parti
lawan yang tidak
ada modal yang benar.
24.
Firman Tuhan bertujuan memberi kebahagiaan kepada umatnya.
Kita tahu bahawa
masyarakat boleh hancur kerana fitnah. Sementara semakin
ramai suka mempamerkan
keislaman mereka dalam cakap-cakap,pakaian dan desakan mereka kepada masyarakat
dan kepada Kerajaan, orang yang sama tidak segan-segan dan tidak takut
kepada Tuhan sama sekali apabila melemparkan fitnah. Tanda tanya
yang timbul ialah sama ada kita sedang melihat kebangkitan Islam semula,
atau apa yang sedang berlaku ialah semata-mata dan sebenarnya umat Islam
adalah lebih sesat sekarang daripada dahulu.
Jika nasib umat Islam diambil kira, kemungkinannya ialah mereka
lebih sesat. Adalah
mustahil jika ajaran Islam dipatuhi umat Islam semakin
buruk keadaannya -- dengan pembunuhan dilakukan sesama sendiri,
dengan penerusan
penjajahan oleh orang lain, dengan kebuluran berlaku di beberapa
negara Islam sedangkan banyak negara Islam yang tidak terhingga kekayaannya,
dan lain-lain lagi peristiwa-peristiwa buruk yang diperlihatkan sekarang.
25. Saya tidak berkata bahawa semua tuduhan rasuah tidak mempunyai asas yang benar. Memang rasuah berlaku dalam negara kita ini. Tetapi, tuduhan yang dibuat kerana ada bukti dan diarahkan kepada, badan yang ditugaskan untuk membanteras rasuah, iaitu BPR adalah berbeza dengan fitnah yang dilepaskan dan disebar di merata-rata tempat kerana iri hati dan ingin memburukkan orang. Memang kita tahu bahawa adalah sukar bagi mendapat bukti berkenaan amalan rasuah, tetapi semua tuduhan yang munasabah disiasat oleh BPR. Hampir semua daripada tuhmahan yang disampaikan kepada Kerajaan diberi layanan yang serius walaupun kebanyakan daripada tuhmahan ini akhirnya didapati tidak berasas.
26. Memang benar terjadi rasuah yang tidak dapat diambil tindakan undang-undang walaupun memang berlaku. Dalam kes-kes seperti ini tindakan disiplin, termasuk penyingkiran, dilakukan. Bagi ahli politik pula, Kerajaan tidak mengambil tindakan, ahli parti atau pengundi boleh mengambil tindakan. Tetapi, kita tahu bahawa tuduhan rasuah mudah diguna oleh musuh politik untuk mendapat sesuatu bagi diri mereka, sama ada dalam parti atau antara parti.
27. Oleh itu, kita, harus berhati-hati. Amatlah tidak adil kita membuat tuduhan yang tidak benar - kita memfitnah. Amatlah tidak adil jika tindakan diambil oleh parti, atau Kerajaan, atau pengundi semata-mata berasaskan fitnah yang dilempar. Kita tahu 99 peratus daripada tuduhan yang dibuat oleh orang ramai tidak berasaskan pengetahuan sendiri, tetapi semata-mata berasaskan cerita yang sampai ke telinga mereka. Kita tahu pula bahawa memang menjadi tabiat manusia menokok tambah cerita yang didengari apabila disampaikan kepada orang lain. Kita tahu 99 peratus daripada cerita rasuah sampai kepada kita bukan "second-hand" atau "third-hand" tetapi setelah melalui telinga dan mulut berpuluh orang lain. Dan tiap-tiap seorang bercerita seolah-olah dialah yang mula-mula mendapat maklumat berkenaan dengan rasuah itu.
28. Fitnah-memfitnah adalah amalan keji yang buruk kesannya. Ia tidak harus dibiarkan menjadi tabiat dan amalan masyarakat kita yang mahukan kebahagiaan. Ia harus dibanteras, dan UMNO, sebagai teras pembimbing masa depan negara yang bahagia harus mengikiskannya daripada masyarakat kita.
DUNIA YANG BERGOLAK
29. Kita berada dalam suasana dunia yang bergolak. Walaupun pencapaian kemajuan material, sains dan teknologi dalam abad kita ini amat menakjubkan, dan kemungkinan pencapaian ini boleh membawa umat manusia kepada kebahagiaan yang begitu besar, suasana. politik dan sosio-ekonomi dunia mencabar kemungkinan peradaban gemilang yang boleh dinikmati oleh umat manusia..
30.
Penaklukan dan campur tangan, sama ada secara politik, ideologi,
atau ekonomi masih
menjadi hasrat dan idaman kuasa-kuasa besar. Mereka masih
ghairah bermain politik-kuasa tanpa menghiraukan hasrat sebahagian
besar masyarakat
antarabangsa untuk hidup aman dan bahagia. Mereka masih menjadi
dalang kepada boneka-boneka mereka. Yang menjadi boneka pula,
seperti Israel,
telah menunjukkan keangkuhan dan biadabnya di kalangan
negara-negara
lemah tanpa sesuatu pun yang dibuat dengan serius oleh pihak
negara-negara besar untuk menghalangnya.
31.
Keadaan di rantau kita masih tegang kerana Vietnam masih
menduduki Kampuchea,
dan dari semasa ke semasa mengganggu dan mencabuli sempadan
sahabat kita negara Thai. Dalangnya juga kuasa besar -- Russia,
yang dengan
tipu helah, telah secara langsung menduduki dan mencabuli
negara Afghanistan,
sebuah negara Islam. Russia juga, setelah bertapak di
Vietnam dan Afghanistan, dengan terang-terang menyuarakan hasratnya
untuk menghancurkan
infrastruktur negarn-negara ASEAN. Di kebanyakan negara
membangun, kecuali beberapa negara termasuk Malaysia, kebuluran
berlaku dan ramai
yang dilanda berbagai-bagai wabak penyakit dan hidup
menderita.
Di sana sini Kerajaan tumbang dan jatuh kerana negara tidak
dapat mengatasi
masalah-masalah rakyat akibat pergolakan politik dan ekonomi
antarabangsa dan cucuk- mencucuk oleh kuasa-kuasa yang ingin
mewujudkan blok-blok
mereka melalui keadaan kucar-kacir.
32.
Suasana keselamatan, khususnya bagi negara-negara kecil, masih terancam.
Bagi kita di Malaysia, keadaan keselamatan serantau dan pergolakan di peringkat
antarabangsa membawa kebimbangan kepada kita. Ini lebih-
lebih lagi
kerana sikap setengah-setengah pihak yang, secara sedar atau
tidak sedar, mengelirukan
fikiran rakyat dan menyemaikan kegelisahan dan kemarahan rakyat kepada
perkara-perkara yang tidak berasas. Keadaan seperti
ini adalah satu keadaan yang subur bagi anasir-anasir komunis dan
antinasional untuk
cuba menghancurkan negara.
KEMELESETAN EKONOMI
33.
Tahun 1982 memperlihatkan kemerosotan ekonomi dunia yang teruk.
Sebagai pembekal
bahan mentah kepada dunia, kita terperangkap dengan aliran
ekonomi yang buruk ini. Harga bijih timah, getah, kelapa sawit,
kayu tropika,
dan lain-lain keluaran negara kita, telah mengalami kemerosotan
harga dan permintaan. Harga minyak petrol kita juga turut
merosot. Dengan
ini maka pendapatan Kerajaan juga berkurangan. Walaupun keadaan
nampaknya akan pulih tetapi kesan pemulihan tidak akan dirasai
dengan serta-merta.
34.
Beberapa negara yang telah berhutang dengan banyak pada waktu
mereka kaya dengan
hasil petroleum sekarang ini hampir bankrap. Kita bernasib
baik kerana kita tidak boros berbelanja. Sebaliknya, pada waktu
kita mendapat
hasil yang lumayan daripada dagangan kita, kita cuma berhutang
untuk membekalkan infrastruktur penting sahaja. Oleh itu, kita bukan sahaja
terselamat daripada menjadi bankrap, tetapi kita masih dapat
berhutang untuk
membiayai projek-projek negara yang penting dan perlu dimulakan atau diteruskan.
Namun demikian, tentulah banyak juga projek yang dirancang
pada waktu kita berpendapatan tinggi dahulu yang terpaksa kita tangguhkan.
35. Berjimat cermat bukan sahaja menjadi suatu amalan yang baik bagi seseorang individu, tetapi adalah baik untuk masyarakat dan untuk sesebuah negara. Pada masa kita berada, kita boleh berbelanja dengan berpatutan, tetapi pada waktu kita daif, kita mesti menerima kenyataan bahawa perbelanjaan mesti dikurangkan. Inilah cara yang selamat bagi semua orang.
36. Apakah sebabnya ekonomi dunia merosot? Ada yang berpendapat bahawa kemerosotan ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak. Ini adalah satu fitnah dan tipu helah. Kenaikan harga minyak telah membawa nikmat, bukan sahaja kepada negara pengeluar dan rakyat mereka yang dahulu ditipu dengan pembayaran royalti 20 sen setong, tetapi juga kepada negara dan rakyat negara maju yang begitu gelojoh menggunakan minyak dahulu. Negara-negara maju telah sedar akan pentingnya mengurangkan penggunaan minyak, satu bahan yang tidak dapat diganti. Dengan ini, maka hari ini penggunaan minyak telah dikurangkan sebanyak 25 peratus, dan bahan-bahan gantian telah dicipta yang boleh membawa lebih banyak nikmat kepada mereka.
37.
Yang betul-betul menderita ialah negara-negara membangun yang
tidak mempunyai
minyak sendiri dan yang kemampuannya terhad. Malaysia patut
bersyukur kerana, walaupun kita juga sebuah negara membangun, kita
mempunyai
berbagai-bagai bahan mentah dan minyak yang cukup, bahkan
boleh dijual dan
menambah pendapatan kita.
38.
Kemerosotan ekonomi dunia sebenarnya disebabkan oleh tabiat malas yang
meresapi masyarakat negara-negara maju di Barat akhir-akhir ini.
Mereka sekarang
ingin bersenang-senang tanpa berusaha. Oleh kerana itu,
segala
pengeluaran mereka berharga tinggi, bukan sahaja di luar negara
mereka, tetapi
juga di dalam negara mereka sendiri. Apabila mereka dapati
barang buatan
negara membangun dan beberapa negara Timur dapat mengalahkan
barang mereka
di pasaran mereka sendiri, mereka yang dahulunya manyanjung
tinggi dasar perdagangan
bebas telah menutup pasaran mereka. Dengan itu, maka
pemasaran semua barang, termasuklah bahan mentah, telah merosot.
39.
Satu lagi tindakan yang dibuat oleh pemerintahan negara-negara
Barat ialah meminjam
beratus ribu juta daripada pasaran wang untuk alat- alat
perang. Dengan itu maka kadar faedah bank telah meningkat sehingga
pada satu
masa ke paras 22 peratus. Faedah yang tinggi menghalang perkembangan
perdagangan dan pelaburan. Mereka yang mempunyai wang lebih suka menyimpannya
untuk mendapat faedah tinggi dari bank daripada dibelanjakan untuk membeli
barang-barang atau melabur. Dengan itu, permintaan, untuk barang-barang
dan harga barang-barang pun merosot.
40. Jelaslah, bukan harga minyak yang menjadi masalah, tetapi keengganan bekerja dan tindakan, negara Barat yang menyebabkan kemerosotan ekonomi. Sebenarnya, pada waktu harga minyak melambung tinggi antara, tahun 1975 hingga 1980, getah, bijih, kelapa sawit, balak dan barang -barang lain, walaupun harga lebih tinggi daripada sekarang, amat laris dijual. Pada masa itu juga negara maju terus pesat kemajuannya.
41. Kita harus memahami semua ini kerana kita tidak mahu kita juga terperangkap. Barat memang berminat supaya daya pengeluaran kita dikurangkan. Pada zaman kolonial, mereka berkuasa menyekat perkembangan industri di Malaysia dan di negara-negara lain yang dijajah oleh mereka. Sekarang, kerana empayar Barat sudah diganti dengan negara yang merdeka, mereka menggunakan badan-badan sekerja antarabangsa untuk menentukan perusahaan kita diganggu oleh tindakan pekerja. Banyak konco mereka terdapat di Malaysia umpamanya, yang mengambil kesempatan daripada beberapa kelemahan yang ada pada pekerja kita untuk menyekat perkembangan perusahaan dan efisiensi. Sebab itulah kita dengar penentangan terhadap dasar-dasar seperti Pandang ke Timur, Penswastaan, Persyarikatan Malaysia dan lain-lain yang bertujuan untuk membolehkan Malaysia bersaing dalam pasaran dunia dengan barang-barang buatan Malaysia.
42.
Sesungguhnya, pada waktu kita kekurangan wang, tidak ada tindakan yang
lebih berkesan daripada mengikat perut dan bekerja lebih kuat. Ini
sememangnya dituntut
oleh agama kita. Insya-Allah, melalui tindakan ini,
kemewahan
akan kembali semula, dan sekali lagi kita akan hidup bahagia.
PANDANGAN KE TIMUR
43. Kita telah menggubal satu dasar yang dikenalkan sebagai "Pandang ke Timur". Seperti yang biasa berlaku dengan perkara yang baru, kekeliruan dan salah faham telah wujud atau sengaja diadakan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjelaskan tentang Dasar Pandang ke Timur ini.
44. Sejak Portugis menawan Melaka, orang Malaysia, terutama orang Melayu, telah mengalami satu jenis rasa rendah diri. Apa yang ada pada mereka semunnya dianggap "inferior" daripada apa yang diperbuat oleh Benggali Putih dan penjajah-penjajah Barat yang datang kemudian. Cuma apabila Jepun mengalahkan British barulah sebahagian daripada rasa malu dan hina diri atau "inferiority complex" ini dapat diatasi. Tetapi, masih banyak yang terus tercengang dan terpegun dengan orang kulit putih. Amalan menghantar penuntut ke negara-negara Barat tidak menolong mengurangkan "inferiority complex" ini.
45.
Malangnya, orang Barat sekarang bukan seperti orang Barat pada zaman mereka
menakluki dunia dahulu. Mereka sudah menukar falsafah hidup
sehingga seseorang
dapat membuat apa sahaja yang didorong oleh kepentingan
atau keseronokan
diri tanpa mengambil kira ketenteraman masyarakat. Kalau
mereka ingin berbogel
di khalayak ramai ini adalah dianggap, hak dan tiada siapa
pun yang patut atau boleh melarang. Jika mereka ingin kahwin, atau
bersekedudukan--
hatta lelaki sesama lelaki, atau perempuan sesama perempuan pun-- ini pun
hak mereka. Orang yang gila pun sekarang berhak bebas
walaupun mereka cenderung membunuh dan telah membunuh. Pekerja
mereka boleh bekerja
jika mereka suka bakerja, tetapi jika tidak bekerja, majikan
atau pemerintah mestilah. membiayai sara hidup mereke sama seperti pada
waktu mereka bekerja. Dengan itu ramai yang memilih untuk tidak bekerja.
46. Penyalahgunam dadah berleluasa di Barat kerana itu pun hak mereka juga. Mereka suka khayalan yang dibawa oleh dadah. Dan banyak lagi amalan yang buruk yang diamalkan oleh mereka dengan berdalih kepada hak asasi seseorang. Mereka kurang mementingkan apa akibat kepada masyarakat dan generasi mereka yang akan datang.
47.
Memandang kepada gejala-gejala inilah maka Kerajaan telah membuat
keputusan untuk
mengurangkan
pengaruh Barat
dan meningkatkan pengaruh Timur
supaya satu perseimbangan tercapai. Di Timur, sifat dan amalan yang dianggap
baik oleh masyarakat kita dan memang membawa kesan yang baik masih tebal
jika dibandingkan dengan di Barat. Orang Timur masih mementingkan hidup
beradat dan beradab. Mereka masih mengutamakan kesejahteraan masyarakat.
Sementara individu berhak, tetapi hak individu tidaklah sehingga dibenarkan
mengganggu ketenteraman masyarakat -- berbogel, bersekedudukan, membelakangkan
adat resmi, menyalahgunakan dadah dan malas bekerja tidak diterima oleh
masyarakat Timur. Sebaliknya, bersopan-santun, ketertiban, menghormati
kepentingan masyarakat dan keluarga, beradat resam dan kerajinan disanjung
tinggi dan diamalkan. Oleh kerana semua ini adalah nilai-nilai yang baik
maka hasilnya juga adalah baik. Masyarakat di beberapa negara Timur lebih
tenteram dan maju sekarang daripada masyarakat Barat.
48.
Mungkin ada yang akan bertanya: "Apakah pentingnya kemajuan di
dunia? Tidak memadaikah
jika kita utamakan kebahagiann di akhirat sahaja?" Jawapannya
ialah bagi kebanyakan orang kebahagiaan di akhirat sukar di
capai tanpa
kebahagiaan di dunia. Kita dapati ramai orang Islam yang telah meninggalkan
agama Islam kerana kemiskinan, kerana dijajah dan diperintah oleh orang,
kerana kecewa dan lain-lain. Kemiskinan adalah hampir kepada
kekufuran. Mereka yang hari ini kononnya dapat menumpukan semata-mata kepada
akhirat cuma dapat berbuat demikian kerana perlindungan yang diberi oleh
orang Islam lain yang mengimbangkan dunia dengan akhirat.
Kerana ada
orang yang sanggup menjaga keamanan dan pembiayaan usaha ini
oleh orang yang
rajin bekerja dan berusaha di dunia maka kumpulan yang mementingkan kedudukan
mereka di akhirat dapat membuat amal ibadat
dengan
sempurna.
49. Berkenaan dengan desakan supaya rajin bekerja tujuannya ialah supaya masyarakat menjadi lebih bahagia dan tenteram. Tiap-tiap seorang mestilah sedar bahawa pada zaman moden ini ia dapat mencari nafkah kerana masyarakat menyediakan kemudahan baginya. Padu asalnya, pada zaman purba, tiap-tiap seorang mestilah memburu atau menanam makanan sendiri. Jika usaha sendiri tidak ada maka ia akan mati kebuluran. Tetapi, pada zaman ini seorang mekanik yang tidak tahu memburu, menternak atau bercucuk tanam masih dapat hidup kerana ada orang lain yang akan menjual makanan kepadanya. Sebagai mekanik ia pula tidak akan ada pendapatan jika tidak ada orang lain mengeluarkan jentera, menjual, memiliki dan merosakkan jentera itu. Untuk mengadakan jentera, berbagai-bagai jenis bahan perlu dicarigali, dikeluarkan, dipindah dari satu negara ke satu negara, dilebur, dibentuk, dipasang dan dijual. Untuk membeli jentera yang dipasarkan ini, seseorang perlu bekerja dan mempunyai pendapatan yang cukup. Untuk memperbaikinya pula, pemilik jentera memerlukan wang yang cukup untuk bayaran kepada mekanik tadi, yang juga telah dilatih oleh mekanik lain.
50.
Saya cuba menggambarkan di sini betapa tiap-tiap seorang didalam masyarakat
moden bergantung kepada beribu-ribu orang lain di dalam masyarakatnya
dan juga kepada masyarakat-masyarakat yang lain. Tidak ada
seorang pun
yang dapat hidup di dunia secara berasingan jika ia inginkan
kebahagiaan di
dunia dan di akhirat.
Menyedari
hakikat ini, tentulah kita
sedar bahawa lebih banyak usaha tiap-tiap seorang daripada kita, lebih
baiklah balasan
kebahagiaan yang akan kita dapati. Sebaliknya, masyarakat yang anggotanya
cuma mengutamakan kepentingan diri sendiri di dunia atau
di akhirat dan
mengurangkan layanan dan sumbangannya kepada masyarakat,
maka masyarakat
itu akan menjadi masyarakat yang lemah dan kucar-kacir, dan
setiap ahli masyarakat itu tidak akan hidup atau mati sempurna dan
terpelihara. Tentulah
jelas pepatah "membuat baik dibalas baik" memang berasas
dan
sesuai setiap
masa dan bagi setiap masyarakat.
51.
Peranan organisasi dalam masyarakat adalah sama dengan peranan
individu. Pentadbiran atau perusahaan/perniagaan adalah sama dari
pada segi kesannya
terhadap masyarakat dan diri sendiri. Galakan yang
diberi supaya
diadakan perusahaan dan perniagaan bukanlah kerana keutamaan
kepada keuntungan
bagi pemilik syarikat-syarikat berkenaan, tetapi adalah kerana
kegiatan perdagangan mewujudkan peluang kerja dan peluang perniagaan sampingan.
Bagi setiap kilang yang diadakan, banyak penganggur akan
mendapat kerja,
banyak pembekal dan peniaga kecil akan dapat menumpang mencari
nafkah, dan banyak pula cukai dapat dipungut. Jika difikir dengan
mendalam,
hampir setiap seorang dalam negara akan merasai nikmat daripada kejayaan
perdagangan yang diusahakan kerana, jika lebih untung perdagangan
tersebut,
maka lebih banyak hasil yang akan diperolehi oleh Kerajaan
melalui cukai
atas keuntungan dan bermacam-macam cukai lain. Sepertimana
kita semua maklum,
hasil yang dipungut oleh pemerintah adalah untuk membiayai
keperluan rakyat melalui pembinaan infrastruktur, melalui kemudahan dan
perkhidmatan pelajaran dan kesihatan, pengawalan keselamatan dan sudah
tentu untuk berbagai-bagai jenis subsidi.
52. Sekali lagi, tentulah jelas lebih banyak perusahaan dan perniagaan diadakan dan lebih banyak keuntungan yang didapati oleh mereka, lebih bahagialah kehidupan rakyat. Sebaliknya, jika apa-apa perusahaan atau perniagaan rugi kerana apa-apa sebab, maka rakyatlah yang akan menanggung kerugian itu akhirnya.
53. Desakan Kerajaan supaya diadakan rancangan perindustrian dan dikembangkan perniagaan, khususnya untuk penyertaan bumiputera, ialah supaya mereka melatihkan diri dalam bidang pengurusan dan seribu satu kegiatan lagi yang ada, kaitan dengan ekonomi. Desakan supaya pekerja rajin bekerja, penuntut rajin belajar, supaya semua jujur, bertanggungjawab dan beramanah bukanlah kerana taksub dengan kebendaan, tetapi kerana semua sitat-sifat ini ada pertalian secara langsung dengan kebahagiaan hidup dan mati kita semua. Jikalau terdapat amalan yang tidak baik dalam semua ini, ini bukanlah kerana bidang-bidang ini sebenarnya tidak baik, tetapi kerana pengamalnya sengaja membuat perkara yang tidak baik.
54. Di Malaysia, kita bukan sahaja berlumba antara kaum, tetapi berlumba dengan negara-negara jiran kita, dan negara-negara lain di dunia. Tidak syak lagi bahawa pengasingan diri kita daripada kegiatan ekonomi akan melemahkan kita daripada segi ketahanan dan kebahagiaan hidup -- bahkan daripada segi kekuatan iman. Hari ini pun sudah ramai orang Islam yang menolak agama mereka kerana tekanan kemiskinan, ideologi komunis atau kerana, ditakluk dan ditindas oleh orang lain. Jika kita tidak mahu bekerja kuat dan tekun belajar, jika kita tidak jujur dan beramanah, maka kita juga akan mengalami nasib yang sama -- semoga Allah Subhanahu Wataala melindungi kita daripada kecelakaan ini.
55.
Sekali lagi saya ulangi desakan Kerajaan supaya kita Pandang ke Timur dan
bekerja kuat, dan berusaha untuk menambah pendapatan bukanlah kerana taksub
dengan kebendaan, tetapi kerana kebahagiaan hidup individu
dan masyarakat,
dan keteguhan iman. Kita harus faham dasar dan usaha Kerajaan, kerana tanpa
fahaman yang menyeluruh, amat mudahlah mereka yang mempunyai muslihat memutar
belitkan segala-gala yang diusahakan oleh Kerajaan, supaya mereka dapat
menarik perhatian dan sokongan rakyat. Baqi mereka ini, kucar kacir, pecah
belah dan lumpuhnya masyarakat Melayu dan Islam adalah korban yang ringan
asalkan mereka mendapat sesuatu di dunia ini bagi diri mereka. Sebagai
Parti yang bertanggungjawab kita di dalam UMNO tidak boleh membiarkan nafsu
mereka ini menghancurkan peluang keemasan yang setelah 500 tahun kita dijajah
telah kembali kepada kita, peluang yang datang kerana kita merdeka dan
menguasai dengan izin Allah Subhanahu Wataala nasib kita sendiri. Inilah
masanya bagi orang Melayu mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka. Jika peluang
ini kita sia-siakan tidak mungkin kita mendapat peluang seperti ini lagi.
Kita tentu tidak mahu menjadi seperti setengah-setengah orang Islam yang
diberi nikmat yang tidak terhingga oleh Allah Subhanahu Wataala, tetapi,
mereka menghabiskan masa, tenaga dan kekayaan untuk bertelingkah sesama
sendiri. Sekarang dengan jatuhnya harga minyak peluang untuk membebaskan
diri daripada tekanan Barat sudah pun hilang. Sekali lagi mereka terpaksa
mengikut telunjuk komunis dan kuasa-kuasa Barat. Inilah yang akan berlaku
kepada kita jika kita menggunakan peluang yang terdapat hari ini dengan
melayan mereka yang tidak bertanggungjawab.
DAYA PENGELUARAN
56.
Sebagai sebuah negara membangun yang inginkan kebahagiaan dan
kemakmuran, dan
dalam dunia yang semakin sempit dengan negara-negara saling bergantung
antara satu sama lain, terutama daripada segi ekonomi, kita
tidak ada
jalan lain untuk menuju kepada kejayaan melainkan dengan menjual beli di
pasaran dunia. Dalam perdagangan antarabangsa, faktor utama yang
akan menentukan
jaya atau gagalnya kita ialah daya pengeluaran tiap-tiap
seorang daripada
kita.
57.
Memang senang untuk memperkatakan tentang daya pengeluaran.
Tetapi, untuk
membawa negara dari satu tahap daya pengeluaran yang rendah
kepada satu tahap yang lebih tinggi bergantung pula kepada beberapa
faktor penting.
Faktor pertama dan utama ialah sikap. Selagi kita utamakan kepentingan
jangka pendek diri sendiri, dan oleh
itu kita tidak
bekerja keras, tetapi sebaliknya kita menuntut pendapatan yang tinggi,
selama itulah daya pengeluaran kita akan kekal rendah berbanding dengan
mereka yang bersaing dengan kita. Akibatnya ialah kita tidak akan dapat
menembusi pasaran, hasil perdagangan tidak akan meningkat, negara tidak
akan makmur, dan akhirnya, iaitu dalam jangka panjang, kita sendiri tidak
akan dapat pendapatan yang lebih. Sebaliknya, jika daya pengeluaran adalah
tinggi, maka kos pengeluaran akan menjadi rendah dan barangan kita akan
dapat bersainng, dengan lebih berjaya. Hasil kejayaan ini tentulah pertumbuhan
ekonomi yang pesat yang akan membawa keuntungan kepada semua pihak termasuk
diri kita sendiri. Adalah jelas bahawa sikap rajin bekerja, berdisiplin,
tidak taksub dengan kepentingan jangka pendek adalah amat penting bagi
diri sendiri akhirnya.
58. Disiplin juga tidak kurang pentingnya. Mereka yang berdisiplin sahaja -- iaitu yang dapat mengawal kehendak diri dan sanggup mengikut peraturan dan arahan -- yang dapat membuat sumbangan kepada daya pengeluaran. Di samping itu, minat dan kesanggupan untuk menggunakan pengetahuan pengetahuan baru, untuk meningkatkan kemahiran dan menggunakan teknologi dan cara-cara yang lebih berkesan, boleh membantu meningkatkan lagi daya pengeluaran kita. Seterusnya, kesanggupan dan minat untuk bekerjasama akan menjamin pencapaian yang lebih tinggi bagi semua. Ini semua adalah amat penting, kerana kita hidup dalam zaman moden yang menghendaki kita berlumba dengan orang-orang lain, kaum-kaum lain dan bangsa-bangsa lain dalam mengejar kejayaan dan kebahagiaan hidup.
59. Itulah sebabnya Kerajaan menganjurkan supaya kita semua mengamalkan etika kerja yang baik. Yang dimaksudkan dengan etika kerja ialah semangat dan cara bekerja yang diasaskan kepada nilai moral yang tinggi dan membelakangkan nafsu. Upah untuk kerja memang penting, tetapi bekerja semata-mata kerana upah akan menjadikan kita sebagai hamba upahan.
60.
Kerajaan sedang berusaha meningkatkan daya pengeluaran dan
memupuk nilai
kerja yang baik dengan berbagai-bagai cara. Usaha-usaha ini bukanlah usaha-usaha
yang mudah, malah ia mungkin tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak
dan setiap individu. UMNO, sebagai parti
yang menjadi tunjang kepada Kerajaan, mestilah bersama-sama mendukung
cita-cita. ini
dan menggerakkan jenteranya bagi menjayakan cita-cita ini. Yang kita lakukan
ialah untuk menjayakan prinsip bersih, cekap dan amanah yang mana kepimpinan
melalui teladan adalah cara yang mustajab sekali.
PERSYARIKATAN MALAYSIA
61. Sebagaimana saudara saudari maklum, baru-baru ini saya telah mengemukakan konsep Persyarikatan Malaysia sebagai salah satu pendekatan dan juga dasar bagi mempertingkatkan lagi kemampuan kita. untuk menuju ke arah kemakmuran yang lebih bermakna. Yang dimaksudkan dengan Persyarikatan Malaysia ialah satu semangat kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta.
62.
Sesebuah negara tidak menjadi maju dan makmur semata-mata kerana adanya
pentadbiran walaubagaimana cekap sekalipun. Kemajuan dan pertumbuhan
negara bergantung
kepada ekonomi yang maju, iaitu kepada segala kegiatan berniaga
dan berusaha di semua peringkat. Daripada keuntungan perniagaan
dan perusahaan
inilah maka Kerajaan mendapat hasil. Juga, setiap sen yang didapati oleh
peniaga dan penguasaha akan dibelanjakan, sama ada untuk
membeli barang,
membayar gaji atau melabur. Dan setiap kali perbelanjaan
dibuat ada orang
lain yang akan mendapat wang yang dibelanjakan ini. Tentulah
jelas bahawa pihak swasta yang cergas dan pintar akan membawa
kemakmuran
dan kemajuan kepada sesebuah negara. Oleh itu, tidak ada sebab kenapa
pihak swasta harus dianggap, sebagai musuh pentadbiran. Jika mereka
menyalahi undang-undang
atau dasar tindakan yang sewajarnya boleh diambil.
Tetapi, umumnya
mereka bukan musuh, sebaliknya mereka adalah rakan dalam
usaha membangunkan
negara. Anggapan bahawa pihak swasta adalah rakan perkongsian Kerajaan,
dan oleh itu perlu dilayan dan dibantu oleh pentadbir, akan menjadikan
negara seolah-olah sebuah syarikat di mana Kerajaan dan swasta menjadi
pemilik dan mempunyai matlamat yang sama, iaitu pembangunan
negara. Inilah
yong dimaksudkan dengan Persyarikatan Malaysia.
PEMBANGUNAN SEIMBANG
63.
Pembangunan adalah untuk manusia. Pembangunan bukanlah jalanraya. atau
bangunan besar, hospital dan berbagai kemudahan awam; ini semua adalah
alat kelengkapan bagi pembangunan yang hakiki. Yang dimaksudkan
dengan pembangunan
ialah peribadi dan mutu hidup manusia yang menggunakan alat
kelengkapan ini. Pembangunan adalah kesejahteraan yang dicapai melalui
keselesaan hidup dan ketenteraman kerohanian. Dengan perkataan lain, pembangunan
adalah proses untuk memupuk masyarakat manusia yang berperadaban tinggi
dengan nilai-nilai kemanusiaan yang mulia untuk kebahagiaan umat manusia.
64. Usaha-usaha kita untuk membangunkan negara adalah dengan tujuan untuk memupuk Bangsa Malaysia yang mempunyai ciri-ciri perseimbangan daripada segi material dan spiritual. Sesuatu program atau projek tidaklah diwujudkan semata-mata untuk kita berseronok-seronok tetapi supaya kita hidup terpelihara daripada tekanan dan ancaman yang mana ini akan memesongkan fikiran kita daripada kehendak dan ajaran agama kita. Dalam keadaan yang tenang dapatlah kita membuat amal ibadat dengan sempurna.
65.
Dalam suasana dunia yang bergolak, dan nilai-nilai kemanusiaan dicabul
dan tidak langsung diberi perhatian oleh setengah-setengah pihak, kita
menanggung satu beban yang berat bukan sahaja untuk menyelamatkan diri
kita daripada gejala-gejala buruk yang mempengaruhi zaman kita ini, tetapi
juga untuk membantu usaha-usaha bagi mewujudkan suasana yang lebih aman
dan bahagia di dunia.
DADAH
66.
Masalah dadah telah menjadi satu masalah yang amat membimbangkan.
Jika sesuatu tindakan
tegas tidak diambil bagi mengatasi masalah ini, kita mungkin
akan gagal dalam semua usaha kita dan mungkin pula negara kita
akan hancur
akhirnya. Bermula dengan kempen pencegahan dadah awal tahun ini, usaha-usaha
baru sedang dijalankan untuk mempertingkatkan lagi kemampuan
kita bagi membanteras masalah ini. Namun demikian, masalah yang
besar ini tidak
mungkin dapat kita atasi jika rakyat sendiri tidak sama-sama memeranginya
dengan satu tindakan yang bersepadu.
67. Mungkin kita tidak dapat menyelamatkan mereka yang telah terperangkap dalam ketagihan dadah. Penagih dadah adalah bangkai bernyawa yang akan terus menjadi beban kepada masyarakat. Tetapi, kita masih dapat menyelamatkan mereka yang belum terlibat dan anak-anak yang belum terjerumus ke dalam jenayah ini. Cara yang boleh menyelamatkan mereka ialah dengan sama-sama berusaha menyediakan persekitaran sosial kita yang tidak mengasingkan mereka ini dan dengan cara melengkapkan mereka dengan pengetahuan tentang bahaya dan akibat dadah.
68.
Dalam perkara ini, adalah penting tiap-tiap keluarga menentukan didikan
moral yang baik bagi anggota keluarga yang masih muda dan menguasai gerak-geri
mereka sepanjang masa. Penyerapan nilai-nilai Barat yang menekankan kebebasan
individu dan miembelakangkan keluarga dan masyarakat tidak harus dipupuk
oleh ibu bapa, atau sekolah atau universiti. Di mana-mana juga kita dapati
kebebasan dan keutamaaan bagi individu berlaku tanpa sekatan di situlah
terdapat keruntuhan akhlak dan jenayah dadah. Oleh itu kita semua harus
berusaha untuk kembali kepada nilai-nilai kita yang lama seperti menghormati
ibu bapa dan orang tua dan menjunjung adat berkenaan perhubungan di dalam
masyarakat. Insya-Allah, dengan cara ini kita akan dapat mengatasi jenayah
dadah.
HUBUNGAN LUAR
69. Sebagaimana yang saya jelaskan dalam ucapan saya tahun lalu, kita mempunyai keutamaan-keutamaan tertentu dalam hubungan kita dengan negara-negara lain. Asas dasar luar kita ialah untuk bersahabat dengan semua negara yang ingin bersahabat dengan kita.
70. Tetapi, yang kita pentingkan di dalam persahabatan kita ialah semangat persaudaraan yang tulen di mana kedua-dua pihak harus hormat-menghormati dan memberi nilai yang tinggi kepada kebebasan dan kedaulatan negara masing-masing. Bagi kita, kita mahukan perhubungan kita terjalin mengikut prinsip-prinsip hubungan antarabangsa di mana kita tidak bimbang walaupun kita lemah dan kecil.
71. Pengalaman telah menunjukkan bagaimana setengah-setengah negara hanya manis di bibir sahaja. Kerana ideologi dan kepentingan diri, ada yang sanggup menjadi talam dua muka. Kalau kita tidak sukakan sifat sedemikian kita juga tidak harus mengamalkannya. Itulah sebabnya kita mencuba seberapa daya yang boleh untuk mengadakan hubungan yang erat melalui kerjasama yang sama-sama menguntungkan kedua-dua pihak. Anggapan bahawa kita adalah "recepient" atau penerima, dan mereka adalah "donors" atau pemberi tidak ada tempat dalam hubungan kita dengan negara lain.
72. Program bantuan teknik Malaysia, walaupun dengan satu tabungan yang kecil, adalah diasaskan kepada kejujuran kita untuk mempraktiskan prinsip-prinsip yang kita sanjung tinggi. Bantuan yang diberi melalui program ini tidak menjadikan kita sebagai pemberi atau "donor" kerana ia merupakan satu jenis kerjasama yang bermakna yang tidak menghinakan pihak penerima. Kita tahu mereka juga boleh membantu kita. Lawatan saya ke negara-negara Pasifik Selatan dan negara-negara Bangladesh, Sri Lanka dan Maldives baru-baru ini telah mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama kita dengan negara-negara yang saling hormat-menghormati satu sama lain.
73. Pendirian kita terhadap masalah-masalah Kampuchea, Afghanistan dan Palestine tetap tegas. Kuasa-kuasa besar harus bersikap serius dan jujur bagi membantu mengatasi masalah-masalah ini di akar umbinya. Sebenarnya, masalah-masalah ini, jika dibenarkan berterusan, dapat menjejas kedudukan kuasa-kuasa besar sendiri. Bagi kita umat Islam, kita yakin Allah Subhanahu Wataala tetap bersama pihak yang benar.
74. Desakan yang kita buat supaya Benua Antartika diwarisi oleh semua umat manusia diasaskan kepada keadilan. Jika wilayah yang dijajah harus diberi balik kepada penduduknya wilayah yang tidak ada penduduk tentulah menjadi hak seluruh umat manusia. Oleh itu kita akan teruskan usaha kita untuk membebaskan Antartika dari diekploitasi oleh negara-negara tertentu sahaja.
75.
Perhubungan kita dengan beberapa negara terkemuka di Barat
adalah mengikut
peraturan. Sementara kita tidak anti mereka, kita juga tidak
ingin menjadi satelit mereka. Sebagai negara yang bebas, Malaysia akan
menghormati semua mereka yang menghormati kita. Malaysia adalah
negara yang berkecuali.
NILAI-NILAI ISLAM
76. Akhir-akhir ini, apa yang dikatakan sebagai usaha untuk menyerapkan nilai-nilai Islam di Malaysia telah menimbulkan berbagai-bagai reaksi. Ada pihak yang menganggap usaha ini sebagai tindakan radikal untuk mengislamkan orang-orang bukan Islam di negara ini. Setengah-setengah pihak pula menganggap ini sebagai permulaan kepada satu proses revolusi Islam. Di samping itu, ada pula yang memperolok-olokkan tindakan- tindakan Kerajaan seolah-olah usaha-usaha Kerajaan itu cuma hendak mengaburkan mata rakyat semata-mata. Ada pula, yang dengan tujuan-tujuan tertentu, cuba mengecam usaha-usaha Kerajaan sebagai tidak jujur dan semata-mata dibuat kerana kepentingan politik.
77. Usaha-usaha ke arah menyerap nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, yang bermakna menyerap nilai-nilai moral yang tinggi, adalah berdasarkan rasional bahawa sesebuah negara tidak mungkin mencapai dan menjamin kebahagiaan kecuali dengan nilai-nilai tinggi ini. Kita faham bahawa yang membezakan manusia dengan haiwan inlah akal fikiran dan nilai-nilai kemanusiaan. Islam mementingkan kedua-duanya dan itulah sebabnya kita menjadikan usaha menerap nilai-nilai Islam sebagai teras kebahagiaan dan masa depan kita. Sesungguhnya, semua nilai Islam tidaklah berbeza daripada nilai-nilai yang tinggi dan baik yang diterima oleh alam sejagat. Cuma mereka yang sudah membelakangkan nilai-nilai moral yang wajar sahaja yang akan berasa terancam dengan hasrat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan dan gerak-geri negara. Rakyat tidak perlu khuatir dengan telatah beberapa kumpulan ekstremis kerana itu bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar dan Kerajaan tidak berminat untuk menyerap amalan-amalan mereka.
78. Usaha-usaha ini bukanlah untuk menakut-nakutkan setengah-setengah pihak, dan ia juga bukan untuk memaksa rakyat bukan Islam menjadi Islam. Islam tidak menganjurkan paksaan, dan lslam juga tidak mendapat untung jika mereka memeluk Islam kerana dipaksa, kerana takut atau kerana muslihat-muslihat tertentu. Yang kita mahu ialah umat Islam benar-benar mengamalkan nilai-nilai Islam, dan yang bukan Islam mengamalkan nilai-nilai mulia yang sudah tentu tidak bertentangan dengan nilai Islam dan dapat hidup dalam suasana aman maju, harmoni dan bahagia.
79.
Ada orang yang berpendapat bahawa adakan sahaja undang-undang
Islam dan semua
orang Islam akan menjadi orang Islam yang beriman dan bertakwa.
Cara ini sebenarnya akan menghasilkan orang-orang Islam cuma
pada zahirnya.
Mereka akan lari ke sana sini dalam usaha mereka untuk mengelak daripada
undang-undang Islam. Dengan ini maka peristiwa-peristiwa yang memalukan
berlakulah di negara-negara bukan Islam di mana orang
Islam suka pergi. Orang Islam akan berasa. "committed" kepada agama Islam
jika sekiranya mereka diberi penjelasan tentang kehendak agama Islam
yang sebenar.
Perbuatan menyembunyi atau memutar belit ayat-ayat Al-Quran
dan hadis Nabi
kerana didapati tidak secocok dengan pendirian orang-orang
tertentu tidak
akan menolong menyakinkan orang Islam sehingga mereka, berpegang
kuat kepada Islam di mana juga mereka berada. Oleh itu, Kerajaan
Malaysia akan terus berusaha menjelaskan agama Islam yang benar
walau apa sekalipun
tuduhan dibuat oleh mereka yang berkepentingan.
Sesungguhnya,
Islam ialah agama kesederhanaan dan bebas daripada sebarang
paksaan.
PENUTUP
80.
Di tengah-tengah masyarakat Islam dan dunia Islam terdapat
pertubuhan kita
UMNO. Jika pada hari ini negara kita tidak dilanda oleh berbagai
malapetaka buatan manusia, sebabnya ialah kerana UMNO adalah
parti politik
yang sederhana, satu sifat yang diredai oleh Allah Subhanahu
Wataala. Berkat dari kesederhanaan inilah maka orang Islam
di Malaysia
terpelihara daripada bermacam-nacam tekanan dan penindasan.
Berkat daripada
kesederhanaan yang sama, yang berasas kepada ajaran Al-Quran,
hadis dan sunah Nabi yang sahih, dan sejarah pemerintahan Islam
pada zaman kegemilangannya,
maka semua kaum dan penganut agama lain hidup
sejahtera dan terlindung di Malaysia.
81.
Tidak ada sesiapa pun yang akan mencabar dakwaan bahawa, sehingga
sekarang Malaysia
tentang, tenteram serta makmur kerana UMNO memerintah melalui
kedudukannya sebagai parti yang terkanan dan terbesar dalam
Kerajaan-Kerajaan
campuran yang telah ditubuh sejak 1955. Orang yang waras
daripada semua kaum tidak berhajat untuk melihat UMNO menjadi lemah
dan porak-peranda.
Tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk
memelihara
kestabilan dan kekuatan UMNO ini.
82.
Kita telah memilih sistem demokrasi dalam susunan serta pentadbiran
UMNO. Kita tidak syak bahawa sistem inilah yang paling sesuai
dan berkesan bagi
mencapai cita-cita kita. Tetapi harus kita ingat bahawa pertubuhan
-pertubuhan
lain, bahkan negara-negara lain telah menerima demokrasi tanpa mencapai
kejayaan. Sebenarnya banyak pengamal sistem demokrasi
dewasa ini menjadi lemah dan berpecah antara sesama sendiri.
Saya syorkan saudara
saudari membuat senarai nama-nama parti dan nama-nama negara yang menerima
sistem demokrasi tetapi hari ini lumpuh atau hancur.
83. Maksud saya ialah sistem walau betapa baik sekalipun dengan sendirinya tidak menjamin kejayaan. Akhirnya, yang menentukan kejayaan ialah pengamal sistem itu yang sedar bahava peruntukan dalam sistem itu perlu diguna dengan membelakangkan nafsu dan mengutamakan semangat penubuhan badan yang berkenaan.
84. UMNO, sejak ianya ditubuh hampir 38 tahun dahulu telah mengamalkan beberapa amalan yang sekarang ini menjadi adat dan tradisi dalam UMNO. Hak yang diberi dalam Perlembagaan UMNO tidak diguna dengan sewenang-wenangnya, terutama di peringkat pucuk kepimpinan, iaitu Majlis Tertinggi. Beberapa Bahagian dan Cawangan UMNO telah lumpuh kerana terlalu ghairah dengan hak demokrasi tetapi tidak menghiraukan adat resam dan tradisi. Tetapi, umumnya, adat dan tradisi disanjung tinggi dan diamal oleh UMNO dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO. Pegangan kepada adat resam dan tradisi inilah yang membawa kejayaan kepada UMNO dan seterusnya kepada negara Malaysia.
85.
Pada masa-masa yang akhir ini terdapat satu kegiatan yang tidak mencerminkan
pegangan kepada tradisi dan adat. Atas nama demokrasi kononnya adat dan
tradisi dibelakangan. Mungkin ada orang yang berminat kepada
jawatan-jawatan
tertentu dalam Parti dan Kerajaan. Tetapi yang ghairah sekali
inlah orang-orang kanan bakal-bakal calon ini. Tidak ada had dan
batasan apabila
orang-orang ini berkempen. Bahasa akibatnya ialah kehancuran
parti tidak sama sekali dihiraukan. Bagi mereka yang utama ialah status
dan pengaruh yang akan didapati oleh mereka jika calon mereka
mendapat kemenangan.
Sebab itu, hampir dua tahun sebelum pemilihan Majlis Tertinggi
mereka telah merancang dan menjalankan kempen mereka.
86.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhananu Wataala kerana dalam
menjalankan tugas
saya diserahkan kepada mereka. Bersama-sama dengan Dato Musa sabagai Timbalan
Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, satu "team"
yang berkesan
telah diwujudkan untuk membuat beberapa perubahan yang dianggap penting
untuk kesejahteraan negara. Saya mangucapkan terima kasih
kepada perwakilan
1981 yang memilih seorang Timbalan Presiden yang boleh
bekerjasama
sebagai satu "team" dengan saya. Dengan kerjasama ini maka kepimpinan menjadi
lebih mudah dan berkesan.
87. Setiap orang daripada anggota Majlis Tertinggi dan Jemaah Menteri mempunyai peranan yang penting dalam jawatan masing-masing. Walaupun ramalan-ramalan kerap dibuat tentang rombakan Kabinet, seperti saudara saudari maklum, tidak banyak perubahan yang dibuat, melainkan pengisian jawatan-jawatan yang kosong. Sebabnya ialah kerana pertukaran tidak dilakukan semata-mata kerana inginkan pertukaran, tetapi sebaliknya kestabilan adalah dianggap lebih utama. Penggunaan kuasa tidak dibuat kerana. kuasa ada di tangan tetapi cuma apabila kuasa perlu digunakan. Kaedahnya adalah sama dengan amalan sistem demokrasi. Bukanlah kerana hak diberi oleh demokrasi maka hak ini mesti digunakan. Kuasa, seperti juga hak, mesti diguna dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.
88. "Team spirit" atau semangat pasukan perlu ada jika sesuatu pasukan itu ,ingin mencapai kejayaan. Jika seseorang daripada, ahli pasukan mempunyai cita-cita atau "ambition" yang tersendiri dan membelakangkan pasukan, maka alamatnya ialah pasukan itu akan gagal. Sehingga kini, walaupun ada khabar angin yang berkata si polan si polan mempunyai "ambition" yang bertentangan dengan "team" dan ketua pasukan tetapi saya percaya akhirnya kepentingan pasukan akan mendapat kesetiaan.
89. Saya ingin memberi amaran kepada beberapa orang "leftenan" yang terlalu ghairah berkempen. Kedudukan mereka dalam Kerajaan bukanlah begitu kemas. Oleh itu, berhati-hatilah.
90. UMNO adalah kepunyaan semua ahli UMNO. Sama ada UMNO akan terus kuat dan berjaya atau gagal dan hancur lebur cuma ahli UMNO sahaja yang boleh menentukan. Kepimpinan cuma merupakan alat yang diamanahkan oleh ahli melalui kuasa yang tertinggi sekali dalam Parti, iaitu Perhimpunan Agung UMNO. Oleh itu, berhati-hatilah, terutama pada tahun 1984. Janganlah kerana kepentingan seseorang maka nasi menjadi bubur.
91.
Bagi saya, tempat yang saya isikan ini tidak berguna melainkan untuk menentukan
kepentingan UMNO dipelihara bersama dengan kepentingan agama dan negara.
Yang penting dan utama bukan saya, tetapi UMNO.
Segala-gala
yang saya perkatakan dalam ucapan ini adalah untuk UMNO,
bermakna juga
untuk orang Melayu,
untuk agama
dan negara.
92. Saya telah menyentuh berbagai-bagai perkara dalam ucapan saya ini. Mungkin ada yang menyentuh perasaan, tetapi apa yang saya sebutkan adalah lahir dari hati yang ikhlas. Saya harap saudara saudari sekalian dapat memberi perhatian yang serius dan wajar kepada perkara-perkara yang telah saya sebutkan.
93. Saya telah berucap agak begitu panjang dan saya percaya ada di antara saudara saudari yang ternanti-nanti untuk membahasnya. Oleh itu, tanpa membuang masa, saya mengakhiri ucapan saya ini dengan mengucapkan kepada saudara saudari sekalian selamat bersidang dctn selamat maju jaya.
WABILLAHI TAUFIK
WALHIDAYAH, WASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI
WABARAKTUH.
Pejabat
Perdana Menteri,
KUALA
LUMPUR.